Jenazah Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor selamat dikebumikan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jenazah Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof selamat dikebumikan sekitar jam 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin di sini hari ini.

Abdul Latiff, yang berusia 71 tahun, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Columbia Asia, Tebrau di sini pada jam 1.01 tengah hari.

Terdahulu, jenazah dikafan dan disolatkan di Masjid Bomba Larkin sebelum dibawa ke kediaman Allahyarham di Kampung Serama, Larkin untuk solat jenazah kali kedua serta penghormatan terakhir.

Bekas Setiausaha Kerajaan Johor itu meninggalkan balu, Datin Safiah Aris dan empat anak.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian beliau.

Pemergian Allahyarham dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim.

Abdul Latiff, yang memiliki pengalaman 36 tahun dalam perkhidmatan awam Johor, memulakan kerjaya sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Tanah Kota Tinggi pada 1975.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Pegawai Daerah Mersing, Pegawai Daerah Kluang, Pegawai Daerah Muar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!