Pilu hati ibu, anak lima tahun hidap leukemia

Nor Shakila Mohd Shoki (kiri) bersama anaknya, Marissa (tengah) dan suami (kanan).
Nor Shakila Mohd Shoki (kiri) bersama anaknya, Marissa (tengah) dan suami (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ibu menangis setiap malam tanpa henti selama seminggu sehingga menyalahkan diri sendiri apabila doktor mengesahkan anak tunggalnya berusia lima tahun menghidap kanser darah atau leukemia.

Penjawat awam, Nor Shakila Mohd Shoki, 32, berkata, dia seakan tidak percaya dan sukar menerima kenyataan berkenaan keadaan anak, Alexandria Marissa Abdul Malik sebelum meminta doktor membuat semula ujian darah untuk menafikannya.

“Doktor cakap kanser Marissa ada 74 peratus iaitu di tahap standard, ya saya dan suami menangis depan doktor bila dapat tahu. Bukan itu sahaja, saya tengok Marissa, saya menangis, dia tidur saya menangis, anak sampai pelik kenapa maknya asyik menangis.

Marissa sebelum menjalani kemoterapi.
Marissa sebelum menjalani kemoterapi.

“Memang pada mulanya saya mempersoalkan semua. Apa dosa saya sampaikan anak dapat sakit macam ini, adakah sebab dosa lampau membuatkan tuhan balas kepada saya.

“Tetapi kelamaan saya semakin menerima takdir dan ibu bapa juga banyak bantu, mereka cakap ini semua ujian serta anggaplah ia sebagai cara untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian.

Kongsi Nor Shakila, pengalaman terpaksa membotakkan kepala anaknya, masih segar dalam ingatan dan perkara paling perit pernah dia hadapi sebagai seorang ibu.

Jelasnya, walaupun sekarang Marissa sudah berada di fasa remisi tetapi keadaannya masih perlu dipantau untuk memastikan kansernya tidak aktif.

Artikel Berkaitan:

Marissa ketika sedang menerima rawatan di hospital berkaitan sakit dihidapnya.
Marissa ketika sedang menerima rawatan di hospital berkaitan sakit dihidapnya.

“Remisi bermaksud semua tanda dan gejala kanser telah hilang, tetapi kami masih perlu melihat perkembangannya. Dalam erti kata lain, paras kansernya perlu berada pada kosong peratus.

“Mengenai botakkan kepala pula, ketika itu saya perlu minta izin dan pujuknya juga. Dia masih kecil serta tidak faham apa yang berlaku, jadi saya asyik cakap ‘botak kan comel’, kemudian barulah dia izinkan.

“Kali pertama menjalankan kemoterapi semuanya masih okay, masuk sahaja kali kedua dan ketiga terus rambut mula gugur banyak sebab itu doktor nasihatkan untuk botak atas faktor kebersihan,” ujarnya.

Mengulas berkenaan tanda awal mengenai kanser, dia berkata, ia bermula daripada demam yang kerap.

Marissa ketika menerima rawatan di hospital.
Marissa ketika menerima rawatan di hospital.

Kata Nor Shakila, naluri seorang ibu mengesyaki ada sesuatu tidak kena pada diri anak, mendorong dia untuk melakukan pemeriksaan pada seluruh badan di hospital berdekatan.

“Jangan pandang enteng bila anak demam tambah lagi kalau kerap sakit. Pergi lah periksa dengan doktor walaupun ia hanya demam biasa. Macam kes saya rupanya kanser, walaupun ada satu peratus kanser dalam badan kita masih perlu merawat untuk hilangkannya.

“Semestinya, sebagai ibu saya kena hadap juga biarpun susah dan kita tak tahu masa depan macam mana, saya harap anak saya ada rezeki untuk sembuh. Paling penting saya sudah usaha, yakin serta biarlah ALLAH SWT yang menentukan semua,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!