Hadiah lumayan menanti peserta Cabaran Pancing Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR - Kira-kira 1,000 peserta dijangka menyertai pertandingan Cabaran Pancing Kuala Lumpur (CPKL) 2020 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, Ahad ini.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun berkata, penganjuran tersebut bersempena Karnival Hari Wilayah Persekutuan 2020 @Kuala Lumpur 2020.
Menurutnya, hadiah keseluruhan berjumlah RM21,000 menanti peserta yang menyertai acara berkenaan.
“Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000 diikuti RM3,000 (naib juara) dan RM1,000 untuk tempat ketiga.
“Pemenang tempat keempat hingga ke-10 bakal membawa pulang wang tunai RM200, manakala pemenang tempat ke-11 hingga 100 menerima RM100 setiap seorang,” katanya pada program pelepasan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Metropolitan, Kepong di sini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid; Pengurus Acara dan Tajaan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Muhammad Fauzi Ahmad dan Eksekutif Pemasaran, Pure Fishing Malaysia Sdn Bhd, Tessy Low.
Beliau berkata, peserta dikenakan bayaran yuran RM40 bagi sebatang joran dan 800 penyertaan awal layak menerima satu botol air sumbangan penaja.
“Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan bermula jam 1 tengah hari hingga 9 malam Sabtu ini dan Ahad bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.
"Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook, JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013266 7011, 0123554946 dan 012284 6811,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!