Kerajaan perlu laksana reformasi SOSMA - Peguam
KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak melaksanakan segera reformasi berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berikutan terdapat individu dalam satu kumpulan jenayah terancang yang tidak bersalah turut ditahan di bawah prosedur tersebut.
Peguam, T Harpal berkata, ia berikutan mereka berdepan penahanan jangka panjang tanpa hak ikat jamin walaupun ramai yang tidak terlibat secara langsung dengan jenayah keganasan.
"Plaintif dalam kes SOSMA yang diwakili peguam telah memfailkan tuntutan pengisytiharan bahawa beberapa peruntukan SOSMA melanggar peruntukan Persekutuan.
"Ini terutamanya dalam Artikel 5, 8 dan 121 yang menjamin kebebasan asas, hak unuk perbicaraan adil dan kuasa kehakiman.
"Pada 29 September lalu, plaintif bersama pihak lain didakwa di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan dan perkaitan mereka dengan kumpulan tersebut mengakibatkan penahanan di bawah prosedur SOSMA, walaupun ramai daripada mereka tidak terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika taklimat awam mengenai undang-undang SOSMA di Wisma KKP di sini pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan, sekumpulan individu lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu.
Mengulas lanjut, Harpal berkata, Seksyen 13 SOSMA yang melarang pemberian ikat jamin kepada individu disebabkan kesalahan keselamatan akan menimbulkan kebimbangan umum sekiranya seseorang itu tidak bersalah dan tiada kebebasan peribadi.
"Ini kerana tahanan berdepan penahanan berpanjangan tanpa perbicaraan atau semakan kehakiman yang tidak seimbang dengan undang-undang Malaysia," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!