Sanusi tegur orang kaya jangan berebut mohon tanah kerajaan dengan orang miskin
YAN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegur sikap sesetengah orang kaya yang sudah mempunyai tanah namun masih berebut dengan orang miskin untuk memohon tanah kerajaan di negeri ini.
Menurutnya, orang kaya yang telah mempunyai tanah sendiri sepatutnya membeli tanah di pasaran.
"Jangan berebut memohon tanah kerajaan dengan orang miskin yang sememangnya tidak mampu untuk beli tanah dengan harga pasaran.
"Berilah mereka peluang untuk sekurang-kurangnya mendapat ruang tempat berteduh keluarga dari hujan dan panas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) Bagi Daerah Yan di pekarangan Kompleks Guar Utama di sini, pada petang Sabtu.
Tambah beliau, golongan kurang berkemampuan termasuk tidak mempunyai tanah untuk dijadikan tapak rumah sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan.
Muhammad Sanusi memaklumkan, atas dasar itu, kerajaan negeri mengambil langkah menyediakan tapak rumah kepada golongan yang memerlukan di setiap daerah di negeri ini.
Jelas beliau, projek Kampung Tersusun dikenali dengan nama Pembangunan Desa Sejahtera diuruskan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah dengan kerjasama semua pejabat daerah.
Katanya lagi, projek itu menyasarkan pemberian lot tanah tapak rumah golongan yang kurang berkemampuan.
Beliau memaklumkan, setakat ini, beberapa syarat dan kriteria ditetapkan dan lokasi projek Kampung Tersusun Desa Sejahtera di setiap daerah juga telah dikenal pasti.
"Pelancaran Desa Sejahtera yang pertama akan dilaksanakan di Kampung Perik, Daerah Padang Terap pada 20 November ini," katanya.
Menurut Muhammad Sanusi, sebanyak 100 lot tanah akan dilupuskan kerajaan negeri kepada bakal penerima yang layak di daerah Padang Terap.
"Pihak kerajaan juga ada menyediakan kemudahan Skim Rumah Mesra Rakyat yang mensyaratkan untuk rumah itu dibina di atas tanah milik sendiri," katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri sedaya upaya berusaha memastikan isu berkaitan pemilikan tanah dapat diselesaikan dalam tempoh munasabah dan mudah.
Bagaimanapun, beliau berharap, orang ramai faham urusan berkaitan hak milik tanah melibatkan beberapa prosedur, undang-undang dan proses untuk menyempurnakan urusan pemberian hak milik akan mengambil masa agak lama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!