Port lumba haram Lebuhraya SPDH kena pukat
PORT DICKSON - Sekumpulan penunggang motosikal yang didakwa menjadikan Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) di sini sebagai 'litar lumba' hilang arah tiba-tiba apabila dikepung pihak polis pada Sabtu.
Operasi pada jam 11 malam hingga 5 pagi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan itu bermula dari Plaza Tol Mambau, Seremban sehingga ke Sua Betong.
Ketua JSPT Negeri Sembilan, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, kesemua mereka gagal melarikan diri dan hasil pemeriksaan sebanyak 454 saman dikeluarkan.
"Op khas Samseng Jalanan dijalankan JSPT Negeri Sembilan bersama agensi luar membabitkan seramai sembilan pegawai dan 71 anggota di sekitar SPDH dan Port Dickson.
"Kami mengepung kumpulan penunggang motosikal ini bermula dari Plaza Tol Mambau menghala ke Port Dickson sehingga ke Sua Betong sejauh kira-kira 20 kilometer (km)," katanya pada Ahad.
Katanya, sebanyak 215 motosikal membabitkan 225 individu diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum 21 motosikal disita.
"Hasil daripada operasi yang dijalankan, sebanyak 21 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebanyak 454 saman dan Notis P22 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
"Kesalahan tertinggi membabitkan nombor pendaftaran (68), lesen memandu (85), cukai jalan dan insurans (60), cermin sisi (38), penutup rantai (33) dan ubahsuai ekzos (30)," katanya.
Beliau berkata, SPDH menjadi tumpuan remaja dan anak muda dari luar Negeri Sembilan terutama Lembah Klang untuk merempit dan perkara itu menyumbangkan kemalangan termasuk ada yang maut.
"Kebiasaannya mereka akan berkumpul di sekitar Senawang, Seremban sebelum ke arah Port Dickson melalui SPDH. Kebanyakan daripada mereka adalah orang luar.
"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan mat rempit dan samseng jalanan serta operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!