'Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara, tiada keperluan keluarkan peta baharu'

Mohamed Khaled berucap pada Majlis Serahan Zakat Wakalah BH Petrol di Majlis Al-Muhajirin Masai hari ini. Foto Bernama
Mohamed Khaled berucap pada Majlis Serahan Zakat Wakalah BH Petrol di Majlis Al-Muhajirin Masai hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan tidak mengeluarkan peta baharu ketika ini dan akan terus mempertahankan kawasan perairan demi kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keperluan mengeluarkan peta baharu memperjelaskan sempadan maritim yang menjadi kawasan kedaulatan negara di Laut China Selatan bergantung kepada perubahan peta lama.

“Ini adalah kesan daripada negara Filipina yang mengeluarkan peta baharunya. Keperluan itu kalau ada perubahan peta lama. Peta kita tetap peta kita yang tidak diubah, yang ubah hanya Filipina.

“Dari semasa ke semasa Filipina ubah peta dan termasuk pula kawasan kita. Jadi kita memang tidak akan ubah peta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Majlis Penyerahan Zakat Wakalah BHP Petrol di Masjid Muhajirin, Taman Rinting, Masai di sini pada Ahad.

Mohamed Khaled berkata, dalam menghadapi cabaran tuntutan bertindih seperti itu kerajaan akan menggunakan pendekatan menerusi saluran diplomatik.

Katanya, saluran diplomatik masih boleh digunakan untuk berbincang mengenai perkara tersebut dan bantahan juga boleh dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa.

“Ini bukan serangan dari satu negara kepada negara kita, kadang-kadang rakyat ingat macam negara ini sudah kena serang jadi bagaimana kita respons, ia bukan, ini soal tuntutan bertindih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai cadangan dilakukan rondaan di kawasan terbabit, beliau berkata, langkah tersebut sentiasa dilakukan secara bersepadu melibatkan pelbagai pasukan dan agensi.

Antaranya kata beliau, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kita lakukan rondaan berdasarkan keupayaan dan aset-aset kita lakukan secara bersepadu dibantu radar-radar. Rondaan dibuat dari semasa ke semasa.

“Kalau kita lihat ada kapal asing masuk (ceroboh sempadan negara) kita akan hantar kapal dan sebagainya. Sebab itu dari semasa ke semasa kita hantar protes kepada negara yang telah masuk ke dalam kawasan kita. Pada masa sama kita menunjukkan kehadiran kita,” katanya.

Pada Sabtu, pakar undang-undang maritim antarabangsa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli menyarankan kerajaaan mengeluarkan peta baharu tersebut.

Ini kerana katanya, kali terakhir peta Maritim Malaysia dikeluarkan adalah pada 1979, sedangkan sejak itu hingga kini, sudah banyak perubahan pada persempadanan dan tuntutan maritim berlaku.

Beliau berkata, Indonesia sudah keluarkan peta terkini mereka pada 2017 dan untuk itu Malaysia perlu bertegas dengan wilayah maritim yang menjadi sebahagian dari wilayah perairan negara.

Pada Jumaat, Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina susulan negara itu meluluskan dua akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.

Minggu lalu pula, Presiden Marcos Jr dilapor menandatangani dua undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh tuntutan negara itu ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan mentakrifkan zon maritim dan laluan laut.

Dua undang-undang baharu itu menuntut hak maritim serta kedaulatan ke atas kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, akta baharu itu juga menetapkan persempadanan baharu Filipina yang melangkaui peta Malaysia yang dibuat pada 1979.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!