Proses mohon air percuma melalui SADE mudah, cepat - Penduduk

Orang ramai boleh membuat permohonan dalam talian melalui laman sesawang ssipr-daftar.selangor.gov.my/. Gambar kecil: Mohd Adiran dan Norsyazwani
Orang ramai boleh membuat permohonan dalam talian melalui laman sesawang ssipr-daftar.selangor.gov.my/. Gambar kecil: Mohd Adiran dan Norsyazwani
A
A
A

SHAH ALAM - Proses permohonan untuk menikmati pemberian 20 meter padu air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE) kepada penduduk berkelayakan di negeri ini mudah dan cepat.

Menurut kakitangan awam, Norsyazwani Mohamed Rashid, 35, permohonan tersebut boleh dibuat dalam talian tanpa perlu berurusan di kaunter sebelum menerima jawapan dalam masa dua minggu.

“Dua minggu dapat keputusan mengatakan layak. Bila tengok bil, sudah ada diskaun menyatakan bayaran air 20 meter padu oleh kerajaan negeri.

“Rugi jika layak tapi tidak memohon kerana walaupun jumlah tidak terlalu besar tetapi sekurang-kurangnya boleh jimat duit,” katanya.

Kakitangan swasta, Mohd Adiran Aswad Ismail, 35, pula mendaftar skim itu ketika mengunjungi reruai Air Selangor pada hari terbuka penduduk Kuala Selangor di Saujana Utama, Sungai Buloh.

“Memang elok buka kaunter di tempat kunjungan ramai kerana masih ada yang tidak tahu mengenai program ini. Mungkin mereka sangka masih dapat automatik seperti dulu," katanya.

Baru-baru, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberitahu kerajaan negeri memperuntuk kuota 600,000 akaun untuk menikmati kemudahan itu tetapi hanya ada 300,000 akaun setakat Oktober.

Beliau menjelaskan, skim tersebut masih dibuka sepanjang tahun ini kepada penduduk tempatan yang berpendapatan isi rumah bawah RM5,000 sama ada menetap mahupun menyewa di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita anggar 600,000 akaun tetapi sekarang ada 300,000 akaun sahaja. Kita akan cari dan tambah giat supaya pendaftaran dibuat,” katanya.

Mulai 1 Oktober 2022, syarat kelayakan dilonggarkan dengan menaikkan had maksimum pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM5,000 ke bawah.

Orang ramai boleh membuat permohonan dalam talian melalui laman sesawang ssipr-daftar.selangor.gov.my/

Borang permohonan boleh dimuat turun atau diperoleh melalui saluran berikut:

* Laman sesawang www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/

* Kaunter perkhidmatan dmana-mana 10 pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.

* Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)

Borang yang lengkap boleh dihantar melalui e-mel kepada iprair@airselangor.com atau mana-mana kaunter perkhidmatan 10 pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!