Tembok sempadan: Kos ambil alih tanah hampir RM500 juta
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Kelantan memerlukan RM445.748 juta untuk kos pengambilan balik tanah penduduk di kawasan sempadan Sungai Golok bagi pembinaan tembok dan zon penampan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Mohd Daud berkata, cadangan pembinaan tembok dan zon penampan adalah amat relevan bagi tujuan keselamatan sempadan negara.
“Kelantan serius untuk membanteras jenayah penyeludupan dan mengatasi masalah banjir di kawasan Sungai Golok iaitu sepanjang 99 kilometer di sempadan Malaysia-Thailand.
“Cadangan pembinaan tembok dan zon penampan akan dapat mengatasi masalah tersebut dan anggaran kos sebanyak RM445.748 juta diperlukan untuk pengambilan balik tanah di kawasan yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim di sini pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Sebelum ini, kerajaan Thailand menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengusulkan kepada kerajaan pusat tentang pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang kawasan sempadan Sungai Golok.
Gabenor Wilayah Narathiwat Trakul Thotham dilaporkan berkata pembinaan tembok berkenaan akan menjadi langkah penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.
Pada 5 November lalu, Kelantan mencadang pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand.
Kelantan sasar pertumbuhan nilai KDNK RM50 bilion
KOTA BHARU - Kelantan menyasarkan pertumbuhan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM50 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu memerlukan penumpuan khusus kepada sektor pembuatan dan industri pelancongan.
“Faktor-faktor pendaya upaya dan pemboleh ubah kepada kejayaan mencapai sasaran tersebut perlu diambil tindakan sewajarnya.
“Manfaat kepada inisiatif yang dirangka ini membawa kepada peluang pekerjaan yang meluas, taraf hidup rakyat meningkat dan mampu membasmi kemiskinan di negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim di sini pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin memberitahu Kelantan merekodkan peningkatan nilai KDNK kepada RM27.6 bilion pada tahun 2023 berbanding RM26.9 bilion tahun sebelumnya.
“Peningkatan 2.6 peratus itu melibatkan antaranya sektor perkhidmatan yang bertumbuh 3.8 peratus dengan menyumbang sebanyak RM19.8 bilion.
“Sektor pertanian bagaimanapun menguncup 0.5 peratus disebabkan kemerosotan subsektor perhutanan dan pembalakan,” katanya.
Tambah beliau, sektor pembuatan Kelantan juga menyusut 2.6 peratus disebabkan oleh kemerosotan dalam produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan.
“Sementara sektor pembinaan berkembang 6.7 peratus sebahagian besarnya disokong oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!