GRS-PH Plus cuba dijatuhkan guna taktik kotor - Hajiji
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan rakan gabungannya bahawa mereka kini berhadapan taktik kotor pihak pembangkang yang ingin menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus.
Pengerusi GRS itu berkata, rakan parti dalam gabungan harus lebih berhati-hati dengan cabaran yang sedang menguji daya tahan gabungan tersebut.
"Cabaran ini wujud seiring dengan kemajuan sains dan teknologi serta ketamadunan umat manusia masa kini.
"Apa yang saya maksudkan ialah taktik kotor pembangkang serta konco-konco mereka yang bersekongkol ingin menjatuhkan kerajaan GRS-PH Plus melalui sebaran fitnah, pelbagai tuduhan dan pembohongan terhadap kerajaan negeri dan kepimpinan parti," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok di sini pada Ahad.
Katanya lagi, cabaran itu ditambah dengan kewujudan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini berada dalam kehidupan rakyat.
"Inilah cabaran semasa yang wajib kita perangi habis-habisan, kerana ia boleh meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan dan kepimpinan parti, lebih-lebih lagi dalam era teknologi serba canggih sekarang, di mana media sosial dan AI telah menguasai kehidupan seharian rakyat.
"Segala pembohongan dan fitnah yang ditabur di luar sana, bukan sahaja perlu disangkal bahkan wajar dipatahkan, agar rakyat tidak terus tertipu atau termakan hasutan, hasil perbuatan mereka-mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan secara kotor dan tidak bermoral," katanya.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin dengan LDP sebagai salah sebuah parti yang mendukung perjuangan GRS mampu memainkan peranan penting dalam membendung dan memerangi segala dakyah serta taktik kotor yang digembar-gemburkan oleh pembangkang.
"Malah, saya amat yakin dan percaya bahawa LDP yang kini telah menjangkau usia 35 tahun, mampu menyumbang idea dan berkongsi pengalaman, ke arah memantapkan lagi kebersamaan dan kesatuan kita di dalam GRS.
"Parti LDP ini pernah mencatat rekod kejayaannya yang tersendiri, apabila Tan Sri Chong Kah Kiat, ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kudat, diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah ke-13, pada tahun 2001 sehingga 2003," katanya.
Sehubungan itu, Hajiji secara peribadi melihat LDP bukan sahaja parti yang serba boleh tetapi tetap relevan hingga ke hari ini dengan pengaruhnya yang tersendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!