Langkah ke pentas global melalui perkongsian strategik Malaysia-UAE

Ahmad Zahid (kanan) ketika disambut Suhail Mohamed dalam satu pertemuan untuk membincangkan mengenai perkongsian strategik di antara Malaysia-UAE di Dubai pada Sabtu.
Ahmad Zahid (kanan) ketika disambut Suhail Mohamed dalam satu pertemuan untuk membincangkan mengenai perkongsian strategik di antara Malaysia-UAE di Dubai pada Sabtu.
A
A
A

DUBAI - Perkongsian strategik di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diharap dapat mengangkat kedudukan negara di pentas global dalam beberapa sektor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam pertemuannya bersama Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei, beliau telah membincangkan empat kerjasama yang bakal mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-UAE.

“Pertama, kami berbincang mengenai isu keterjaminan makanan di mana saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.

“Ini secara tidak langsung membuka peluang besar bagi Malaysia untuk meningkatkan eksport produk makanan dan halal ke pasaran UAE serta rantau sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid (kanan, tengah) bertemu Suhail Mohamed (kiri, tengah) untuk membincangkan mengenai perkongsian strategik di antara Malaysia-UAE di Dubai pada Sabtu.
Ahmad Zahid (kanan, tengah) bertemu Suhail Mohamed (kiri, tengah) untuk membincangkan mengenai perkongsian strategik di antara Malaysia-UAE di Dubai pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, turut dibincangkan ialah tentang potensi kerjasama dalam sektor pengurusan logistik dan pelabuhan khususnya dengan penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) yang telah digunakan UAE dalam pengurusan pelabuhan mereka dan terbukti berjaya mengoptimumkan pengendalian kontena dan meningkatkan efisiensi logistik mereka.

Katanya, teknologi itu sekiranya dapat diaplikasikan di Malaysia, pastinya dapat membantu meningkatkan kapasiti dan daya saing pelabuhan tempatan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Westports.

“Ketiga, perbincangan mengenai peluang kerjasama dalam pengurusan bencana. Saya sendiri telah melihat, UAE melalui Space42 mempunyai sistem pemantauan bencana yang canggih.

Artikel Berkaitan:

“Ini berpotensi untuk membantu Malaysia dalam membangunkan sistem amaran awal yang mampu meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menangani bencana dengan lebih cekap,” katanya lagi.

Beliau menambah, perkara keempat yang turut dibincangkan termasuk potensi kerjasama dalam pembangunan pusat data dengan penggunaan tenaga hijau.

Kata beliau lagi, ini kerana UAE telah melabur secara signifikan dalam infrastruktur melibatkan empat reaktor nuklear yang berjaya menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan elektrik di negara tersebut.

“Saya juga telah menyambut baik cadangan UAE untuk berkolaborasi dengan Malaysia dalam teknologi data bagi memperkasa fungsi dan data sekuriti di negara kita,” ujarnya.

Mengakhiri pertemuan bersama Suhail Mohamed, Ahmad Zahid turut menjemput pihak UAE untuk bersama-sama menghadiri Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai 2024 yang bakal berlangsung di Dubai World Trade Centre bermula 18 hingga 20 November ini.

Pameran ini katanya diharap menjadi platform untuk memperkenalkan produk-produk Malaysia dan mengundang UAE untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang kedua pada tahun hadapan di mana Malaysia adalah Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

Ahmad Zahid dijadual merasmikan MIHAS Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!