Galak gotong-royong seminggu sekali cegah denggi

Sebahagian daripada 180 peserta yang mengikuti program Gotong-royong Mega dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Mukim Chenderiang di Kampung Baru Chenderiang pada Ahad.
Sebahagian daripada 180 peserta yang mengikuti program Gotong-royong Mega dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Mukim Chenderiang di Kampung Baru Chenderiang pada Ahad.
A
A
A

TAPAH - Jawatankuasa penduduk di kampung baru dan kawasan rukun tetangga (KRT) digalakkan mengadakan gotong-royong seminggu sekali membersihkan persekitaran rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Choong Shin Heng berkata, langkah itu cara terbaik dalam mencegah penularan denggi berikutan peningkatan kes yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, menerusi gotong-royong, aktiviti pembersihan bukan sahaja tertumpu di kawasan kediaman, tetapi lokasi berisiko seperti longkang dan tapak pelupusan sampah haram juga dapat dihapuskan.

"Saya telahpun mengadakan mesyuarat bersama pemimpin masyarakat di kawasan DUN Chenderiang.

"Dalam pertemuan itu, saya minta mereka adakan gotong-royong sekurang-kurangnya seminggu sekali.

"Isu denggi ini sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan kerana telah banyak kes berlaku membawa kepada kematian," katanya selepas merasmikan Gotong-royong Mega dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Mukim Chenderiang di Kampung Baru Chenderiang di sini pada Ahad.

Hadir sama, Penghulu Mukim Chendering, Mohd Isa Hamid; Pegawai Kesihatan Daerah Batang Padang, Dr S Anuratha dan Pengerusi Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Batang Padang, Muhammed Anuver Muhammed Rafik.

Artikel Berkaitan:

Selain Jabatan Kesihatan dan Combi, program turut disertai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Majlis Daerah Tapah, bomba dan polis.

Pada Jumaat, kes demam denggi dilaporkan meningkat kepada 1,583 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 45 bagi tempoh 3 hingga 9 November berbanding 1,346 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilapor berkata, kematian akibat komplikasi demam denggi juga meningkat kepada dua kematian berbanding satu kematian pada minggu sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!