Seorang maut, 28 cedera bangunan runtuh di Tanzania
DAR ES SALAAM - Seorang maut dan 28 yang lain cedera apabila sebuah bangunan empat tingkat runtuh di pinggir bandar Kariakoo di Dar es Salaam, bandar pelabuhan Tanzania, umum Perdana Menteri Kassim Majaliwa pada Sabtu, lapor Xinhua.
Bercakap di lokasi kejadian, Majaliwa berkata, operasi menyelamat yang dikendalikan oleh polis, pasukan keselamatan dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Tanzania sedang giat dijalankan.
"Beberapa saudara mara masih berhubung dengan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan melalui telefon bimbit.
"Semasa saya berada di sini, saya mendengar seorang daripada mangsa yang diselamatkan melaporkan bahawa masih terdapat lebih ramai orang yang terperangkap di bawah runtuhan," katanya.
Presiden Samia Suluhu Hassan menyampaikan ucapan takziah kepada Pesuruhjaya Wilayah Dar es Salaam Albert Chalamila dan menyeru agar usaha menyelamat dipercepatkan sebagai respons terhadap tragedi itu.
Menurut saksi, bangunan yang menempatkan kedai dan perniagaan lain runtuh kira-kira 9 pagi waktu tempatan (0600 GMT), sejurus selepas kerja pembinaan untuk meluaskan ruang perniagaan bawah tanah dimulakan. Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!