[VIDEO] Fenomena air pasang besar landa Pontian
PONTIAN - Kejadian air pasang besar yang berlaku pada Ahad menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air setinggi 3.5 meter.
Kawasan terbabit ialah Pekan Kukup, Tanjung Piai, Pusat Perdagangan Pontian dan Pekan Benut.
Tinjauan dilakukan di Pekan Kukup mendapati air naik dengan cepat menyebabkan laluan menuju ke Terminal Feri Kukup dinaiki air sekitar jam 11 pagi.
Bagi kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai pula kemuncak air pasang pada jam 11.30 pagi menyebabkan berlaku limpahan air laut di kawasan dataran pekarangan pintu masuk.
Peniaga di Pekan Kukup, Amy Goh, 41, berkata, aktiviti perniagaan tetap diteruskan peniaga dan orang ramai berurusan seperti biasa.
"Setiap hujung tahun akan berlaku air pasang besar, tetapi hari ini air tidak masuk ke dalam kedai.
"Mungkin esok paras air lebih tinggi. Kami sudah kemas barang dan naikkan ke tempat tinggi. Ini kerana sebelum ini, air pasang biasanya akan menyebabkan air masuk ke dalam kedai," katanya.
Sementara itu, Penyelia Taman Negara Johor Tanjung Piai, Hanif Aminuddin berkata, air pasang besar pada Ahad setinggi 3.5 meter yang mengambil masa dua jam untuk surut.
Katanya, taman negara seluas 325 hektar itu merupakan lokasi utama berlaku limpahan air akibat fenomena air pasang besar yang memenuhi kawasan paya bakau di taman tersebut.
"Semasa kejadian air pasang besar, tiada jualan tiket dibuka kepada pengunjung kerana kawasan dilimpahi air termasuk di kawasan mercu tanda penghujung benua Asia.
"Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda di dataran berdekatan pintu masuk dengan dikawal oleh petugas," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baharu, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Hasnan Abdul Rahman berkata, seramai 12 anggota terlibat membuat pemantauan di kawasan yang dinaiki air akibat air pasang besar.
Beliau berkata, berdasarkan rekod air pasang di Kukup pada pada paras 3.07 meter.
"Setakat ini keadaan terkawal, memandangkan hujan tidak turun serentak ketika air pasang besar berlaku.
"Bagaimanapun anggota bomba sentiasa membuat pemantauan kerana fenomena ini dijangka turut berlaku pada Isnin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!