Budimas berjaya kumpul RM400,000 untuk kanak-kanak kurang bernasib baik

Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, YM Tunku Datuk Yaacob Khyra (empat, kanan) bersama ahli Lembaga Pemegang Amanah Budimas yang menjadi tulang belakang kejayaan yayasan berkenaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, YM Tunku Datuk Yaacob Khyra (empat, kanan) bersama ahli Lembaga Pemegang Amanah Budimas yang menjadi tulang belakang kejayaan yayasan berkenaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) mencatat kejayaan besar dalam 6th Annual Night of a Thousand Blessings yang diadakan di Hotel Pullman KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini, apabila berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM400,000.

Dana berkenaan akan digunakan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik, termasuk komuniti Orang Asli di Malaysia.

Acara amal tahunan yang berprestij ini dihadiri lebih 400 tetamu, termasuk rakan perniagaan, ahli komuniti dan penderma yang menyokong misi yayasan untuk memberi harapan dan masa depan yang lebih cerah kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan.

Malam itu turut dimeriahkan oleh persembahan seni yang menginspirasikan, termasuk koir dari Budimas Orion Home dan tarian tradisional yang menggambarkan warisan budaya Malaysia.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, YM Tunku Datuk Yaacob Khyra, yang turut hadir sebagai tetamu kehormat, dalam ucapan pembukaannya menekankan bahawa acara ini bukan sekadar satu majlis makan malam sahaja, tetapi juga sebagai pengingat terhadap tanggungjawab bersama untuk membantu golongan yang paling rentan dalam masyarakat.

"Setiap ringgit yang dikumpulkan memberi harapan, kestabilan dan masa depan yang lebih cerah kepada kanak-kanak yang berhak untuk berjaya pada masa hadapan," katanya.

TUNKU YAACOB
TUNKU YAACOB



Selain Tunku Yaacob, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran ahli Lembaga Pemegang Amanah Budimas, Ahli Lembaga Pengelola, penaja perniagaan, wakil media, serta kanak-kanak yang menerima manfaat daripada program-program yayasan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, Budimas juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penaja utama acara ini yang telah menunjukkan sokongan padu, antaranya Sunway Medical Centre, Farm Fresh Malaysia, United U-Li, Hasani Group of Companies, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, MAA Group dan Mydin Mohamed Holdings.

Menurutnya, kerjasama mereka memainkan peranan penting dalam membantu yayasan mencapai misi untuk memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak di Malaysia.

“Sokongan ini sangat berharga, dan setiap sumbangan, besar atau kecil, memberi impak yang besar kepada kanak-kanak yang memerlukan,” tambah Tunku Yaacob.

Inisiatif Yayasan Kebajikan Budimas

Sejak penubuhannya, Budimas telah melaksanakan beberapa program yang memberi impak besar kepada kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Budimas Home Charity Fund (BHCF)

Program ini memberi bantuan kewangan kepada lebih 50 rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh Malaysia, menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif kepada lebih 2,000 kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal atau ditinggalkan.

Budimas Food Charity Fund (BFCF)

Inisiatif ini menyediakan makanan harian kepada kanak-kanak yang memerlukan, kini menjangkau lebih 5,000 pelajar di 160 sekolah, termasuk di Sabah. Budimas juga berhasrat untuk menambah 1,000 kanak-kanak lagi pada tahun depan.

Budimas Education Charity Fund (BECF)

Sejak 2015, Budimas telah membina 12 perpustakaan di komuniti Orang Asli, dengan lebih 6,000 buku dan peralatan digital disediakan. Budimas berhasrat untuk menambah 12 lagi perpustakaan pada tahun 2025 untuk meningkatkan akses pendidikan kepada kanak-kanak pribumi.

Pada tahun 2024, Yayasan berkenaan memperkenalkan dua program baharu yang bertujuan untuk memperkukuh lagi komitmen mereka terhadap pembangunan kanak-kanak secara menyeluruh:

Budimas Children Medical Care Fund (BCMCF)

Program ini bertujuan untuk menyediakan pembedahan percuma dan rawatan perubatan penting kepada kanak-kanak yang mengalami penyakit kritikal. Budimas bekerjasama dengan Gleneagles Kuala Lumpur dan beberapa institusi perubatan lain untuk menjalankan inisiatif ini.

Budimas Performing Arts Fund (BPAF)

Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengembangkan ekspresi diri dan keyakinan melalui seni persembahan, seperti muzik, tarian dan persembahan tradisional. Program ini juga bertujuan untuk memelihara warisan budaya Malaysia.

Majlis yang penuh inspirasi

6th Annual Night of a Thousand Blessings itu bukan hanya penuh dengan ucapan yang menginspirasikan, tetapi juga dengan persembahan seni yang menghiburkan. Persembahan koir dari Budimas Orion Home, gendang, dan tarian tradisional menambah meriah suasana.

Tunku Yaacob (dua, kiri) dan Pegawai Eksekutif Budimas, Anne Rajasaikaran menerima replika cek sumbangan daripada salah satu penderma.
Tunku Yaacob (dua, kiri) dan Pegawai Eksekutif Budimas, Anne Rajasaikaran menerima replika cek sumbangan daripada salah satu penderma.



Selain itu, majlis ini turut diadakan lelongan barangan berharga yang disumbangkan oleh para tetamu untuk membantu mengumpul dana bagi menyokong misi yayasan.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Budimas, Anne Rajasaikaran dalam ucapannya menyatakan rasa terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan padu.

"Dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada penderma dan rakan kongsi kami, kami kini dapat membantu lebih 10,000 kanak-kanak setiap tahun melalui program-program kami.

“Misi kami berterusan, dan setiap sumbangan membawa kami lebih dekat untuk memastikan tiada kanak-kanak di Malaysia yang hilang harapan," ujarnya dengan penuh semangat.

Antara persembahan yang menyerikan majlis 6th Annual Night of a Thousand Blessings.
Antara persembahan yang menyerikan majlis 6th Annual Night of a Thousand Blessings.



Dalam masa sama, Budimas menyeru orang ramai, syarikat, dan komuniti untuk terus menyokong usaha mereka dalam memastikan masa depan yang lebih cerah untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara untuk menyumbang atau bekerjasama dengan Budimas, orang ramai boleh melayari www.budimas.org atau menghubungi 03-12345678.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!