Rasuah ADUN Sabah: Penyebaran video bermotif politik - LDP

Su Pin menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yang hadir pada Mesyuarat Agung LDP di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu.
Su Pin menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yang hadir pada Mesyuarat Agung LDP di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penyebaran video yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dilihat bermotifkan politik.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Pin berkata, mungkin ada pihak yang menjadi dalang di sebalik penyebaran video tersebut kerana ia tidak diberikan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita boleh nampak ini adalah motif politik seseorang berada di belakang, itu saja yang saya nampak.

"Kalau betul-betul ada yang melakukannya (rasuah) pergi ke SPRM. Kenapa pergi (sampaikan) kepada Agong (Yang di-Pertuan Agong), kenapa pergi kepada Perdana Menteri?

"Lagipun, video-video itu pun bukan semestinya terang, agak kabur," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung LDP di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan dan penyebaran empat video melibatkan ADUN Sabah yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah.

Sementara itu dalam isu berkaitan, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis daripada ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.

"Ada buat laporan dan kita akan siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Arsad dalam kenyataannya pada Sabtu memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya berhubung penyebaran maklumat salah atau memutarbelitkan kenyataan beliau.

Beliau menjelaskan bahawa perbualannya dalam satu video tular yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah telah disunting dan disebar dengan niat jahat.

Katanya, perbualan itu dibuat secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!