Wang simpanan arwah suami lesap ditipu 'love scam'
KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita berputih mata apabila wang simpanan arwah suaminya berjumlah RM20,900 lesap selepas terpedaya dengan seorang lelaki yang dikenali melalui aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 33 tahun itu terjerat selepas mengenali seorang lelaki pada 11 November lalu.
Menurutnya, lelaki itu menyatakan mahu berkenalan lebih rapat dengannya sebelum memberikan satu pautan dan meminta supaya mangsa menekan 'link' tersebut.
"Mangsa yang tidak bekerja telah menekan 'link' itu dan telah dimasukkan ke dalam aplikasi 'google chat' bagi membolehkan dia berhubung dengan lelaki tersebut.
"Selepas beberapa hari berhubung, suspek menyatakan mahu memberikan mangsa hadiah sempena perkenalan mereka berupa telefon bimbit dan juga wang dalam bentuk dolar AS (Amerika Syarikat) yang tidak diberitahu nilainya," katanya di sini pada Ahad.
Menurut Azli, mangsa kemudian menerima emel yang mengatakan bahawa barang dikirim itu telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mangsa perlu membuat pembayaran untuk mendapatkan barangan tersebut kepada sebuah syarikat kurier.
"Mangsa telah membuat 14 kali bayaran ke tujuh akaun bank yang berbeza menggunakan wang simpanan arwah suaminya. Malangnya, setelah membuat bayaran mangsa masih lagi diminta membayar atas pelbagai alasan.
"Mangsa tidak lagi mengikuti arahan yang diberikan dan merasa telah ditipu sehingga mengalami kerugian RM20,900," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang berasa tertipu telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis pada Sabtu.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!