Ahli DAP perlu betulkan salah laku kerajaan terdahulu - Kor Ming

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

KLANG - Ahli-ahli DAP digesa supaya memperbetulkan kesilapan dan salah laku yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu dan bukannya menjadi sebahagian daripada salah laku itu.

Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, ia kerana DAP kini berpeluang menjadi parti pemerintah selepas 58 tahun berjuang.

“Oleh itu, semua ahli parti mesti menghargainya dengan lebih mendalam, serta berusaha untuk terus meningkatkan diri dan memperbaiki kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.

“Selama ini, DAP sering diserang oleh UMNO dan MCA, tetapi kita harus berpegang pada prinsip politik yang rasional, memimpin dengan akhlak dan berbicara melalui pencapaian politik, supaya kita mendapat sokongan daripada pengundi tengah,” katanya.

Kor Ming (depan, 10 dari kanan) hadir merasmikan Perhimpunan Agung DAPSY Kebangsaan di Klang pada Ahad.
Kor Ming (depan, 10 dari kanan) hadir merasmikan Perhimpunan Agung DAPSY Kebangsaan di Klang pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan di sini pada Ahad.

Kor Ming juga menyeru semua ahli DAPSY di seluruh negara agar aktif turun ke peringkat akar umbi serta menjaga silaturahim antara pelbagai kaum, terutamanya golongan pelajar universiti untuk memperkukuh kekuatan parti dan menjadikan DAPSY sebuah platform mencungkil bakat bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Sebagai generasi muda, pemimpin DAPSY perlu mempunyai cita-cita untuk memperjuangkan kesamarataan kaum, melaksanakan pemerintahan yang berintegriti serta mempromosikan kepelbagaian budaya, selaras dengan misi penubuhan DAP sejak 1966.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun DAP kini sebuah parti lama, tetapi jika parti DAP ingin terus kekal muda, seluruh anggota parti mesti tidak melupakan asal-usul, tetap teguh pada misi dan menggunakan pencapaian yang cemerlang untuk merealisasikan harapan rakyat,” ujarnya.

Justeru, Kor Ming berharap DAPSY akan lebih aktif dalam menyebarkan dasar-dasar dan pencapaian baik kerajaan, seperti pengumuman baru-baru ini bahawa ekonomi negara berkembang sebanyak 5.3 peratus dalam suku ketiga mengatasi negara-negara seperti China, Filipina, India dan Singapura serta pencapaian negara yang kini tersenarai dalam 10 negara paling aman di dunia.

Menurutnya, semua pencapaian tersebut membuktikan bahawa negara semakin berada di landasan yang betul dan DAPSY seharusnya menjadi saluran kerajaan untuk menyampaikan perubahan positif kepada rakyat.

Kor Ming turut berkongsi pengalamannya ketika beliau bersama Setiausaha Agung DAP sekarang, Anthony Loke, berjuang dalam DAPSY.

Pada masa itu, beliau memegang jawatan sebagai Ketua DAPSY manakala Anthony sebagai Setiausaha, dan kini Anthony telah menjadi Setiausaha Agung parti, sementara beliau memberi sokongan dari belakang.

“Ini menunjukkan semangat perpaduan dalam DAP, di mana tiada pemisahan antara satu sama lain, dan semangat bekerjasama serta saling menghormati harus menjadi nilai teras parti,” kata beliau.

Untuk menunjukkan komitmen dan kerjasama erat antara pusat dan DAPSY, Kor Ming mengumumkan bahawa beliau akan mendermakan gaji sebulan sebagai ahli Parlimen dan menyerahkannya kepada Ketua DAPSY.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!