MTL: Pahang tutup sementara Taman Eko Rimba, Hutan Taman Negeri

Pahang tutup sementara Taman Eko Rimba, Hutan Taman Negeri ekoran MTL.
Pahang tutup sementara Taman Eko Rimba, Hutan Taman Negeri ekoran MTL.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara waktu Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri serta kawasan ekopelancongan di negeri ini ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara.

Penolong Pengarah Kanan Hutan Lipur JPNP, Muhamad Rahman Mustafa berkata, penutupan sementara bermula 21 Oktober lalu sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, turut dilarang aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) membabitkan aktiviti seperti perkhemahan, memancing, perkelahan dan pendakian.

"Bagaimanapun penutupan tidak membabitkan Taman Eko Rimba Mossy Forest di Cameron Highlands.

"Semua jenis aktiviti rekreasi termasuk pendakian gunung, sukan lasak berkenderaan, penjelajahan gua dan lain-lain aktiviti riadah, adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh ini," katanya di sini pada Ahad.

Tambah beliau, pengunjung yang tidak mematuhi notis pemberitahuan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Jelasnya, jabatan itu sentiasa mengambil berat keselamatan pengunjung yang berada dalam kawasan pelancongan di bawah selian JPNP dan keputusan menutup sementara perlu dilakukan demi keselamatan orang ramai.

Dalam pada itu, beliau berkata, anggota penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) akan melakukan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak ada pihak berada dalam kawasan terlibat sepanjang tempoh larangan sementara terbabit.

Artikel Berkaitan:

Di negeri ini, terdapat 25 Taman Eko Rimba dan dua taman negeri yang sentiasa menjadi lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.

Orang ramai boleh mendapatkan sebarang maklumat atau pertanyaan dengan berhubung terus ke JPNP di talian 095732911/2914.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!