Kedah laksana pemetaan utiliti bawah tanah
ALOR SETAR - Kedah akan melaksanakan sistem pemetaan utiliti bawah tanah bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku terutama ketika membangunkan projek pembangunan baharu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses tersebut sedang bermula dan dikendalikan oleh sebuah agensi di bawah kerajaan negeri.
Menurutnya, pemetaan utiliti ini meliputi semua saluran, saliran dan laluan utiliti agar kedudukannya lebih tersusun untuk kemudahan masa depan.
“Selepas ini akan ada ‘mapping’ untuk utiliti bagi manfaat kerajaan dan pemaju.
“Kita terpaksa lakukan, untuk 50 tahun akan datang kalau semua korek tanah ikut suka dan tanam utiliti dalam tempoh itu, pada masa depan tak boleh korek lagi sebab semua barang utiliti sudah ada.
"Kita wujudkan sistem ini yang telah ada di beberapa negeri seperti di Selangor dan Pahang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Kedah/Perlis di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Presiden Rehda Malaysia, Datuk Ir Ho Hon Sang.
Sanusi berkata, proses pembangunan di Kedah dijangka sedikit perlahan disebabkan penetapan syarat kemudahan utiliti bagi setiap perumahan.
“Kita sedang bangunkan lima Loji Rawatan Air (LRA) yang sebahagian besar akan menyumbang kepada keperluan utiliti bekalan air.
“Antaranya, kerajaan negeri meminjam RM470 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk bangunkan LRA Pelubang. Kita akan selesaikan masalah bekalan air di Jerlun, Kubang Pasu, Kuala Kedah dan Alor Setar.
“Ia juga akan membantu pemaju-pemaju untuk bangunkan projek perumahan masing-masing,” ujarnya.
Sanusi berkata, beberapa caj yang dikenakan terhadap pemaju perumahan tidak dapat dielakkan kerana kesilapan lalu dalam membangunkan projek pembangunan pada ketika itu.
“Antaranya caj pembetungan dan caj Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dikatakan mencecah RM7,000 untuk penyenggaraan saluran longkang perumahan.
“Kesilapan 50 tahun lalu apabila kita reka bentuk pembetungan saluran longkang yang kecil, kemudian apabila projek perumahan semakin banyak, tetapi longkang kecil, semua airnya tertumpu di situ dan menyebabkan banjir, maka kita kenakan caj untuk JPS senggara saluran menjadi besar,” katanya.
Menurutnya, Rehda dan kerajaan negeri serta jabatan agensi melakukan rundingan secara harmoni tanpa sebarang penolakan caj yang dikenakan meskipun terdapat keluhan daripada beberapa pihak.
“Kerajaan negeri tiada pilihan, ia bagi mengatasi masalah-masalah yang akan berlaku pada masa depan.
“Orang berniaga mahu untung, kerajaan negeri pula bertanggungjawab menjaga orang ramai dan negeri. Kita perlu ambil jalan tengah supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat
“Yang penting rakyat dapat perkhidmatan daripada kerajaan dan nikmat daripada kemajuan yang dicetuskan oleh pemaju perumahan. Inilah imbangan yang kita mahu di Kedah,” jelasnya.
Sanusi berharap pemaju memahami keperluan dan langkah-langkah yang dilaksanakan untuk faedah bersama pada masa depan.
“Berilah kerjasama sepenuhnya untuk kemajuan dan pembangunan beroperasi, kurangkan birokrasi, kurangkan kerenah untuk pastikan ekonomi kita lancar. Kalau politik maju, tapi ekonomi tak berkembang, tidak ada gunanya,” ujarnya.
Menurutnya, pemaju perumahan tidak akan mengalami kerugian di Kedah kerana ekonomi negeri sedang berkembang baik.
“Binalah rumah banyak mana pun, Insya-ALLAH laku. Kerajaan negeri (sebelum ini) sudah sasarkan dalam tempoh lima tahun bina 7,000 rumah mampu milik kerana kebanyakan rakyat kemampuannya terbatas.
“Kita mahu sediakan mengikut permintaan pasaran, saya percaya harga RM200,000 hingga RM250,000 masih dalam kategori mampu dimiliki,” katanya.
Sanusi jelaskan, pembangunan perumahan dalam bandar Alor Setar semakin terhad berikutan kekangan tanah menyebabkan pembangunan kini beralih ke pinggir bandar seperti Pokok Sena.
“Masalah di Alor Setar ialah tanah mahal, bukan kos tinggi. Bila tanah mahal automatik kos membangunkan tanah menjadi mahal. Memang tak ada tanah sebab kita disuruh tanam padi untuk sekuriti makanan, tak boleh kambus sawah padi untuk bina rumah, jadi tanah terhad di Alor Setar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!