NFDP A ke final Piala Supermokh
SKUAD Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A melangkah ke pentas final dalam kategori bawah 12 (B-12) tahun Piala Supermokh 2024 selepas menewaskan NFDP B, 3-1 dalam aksi separuh akhir pada Ahad.
Skuad bimbingan Abdul Ghani Malek memulakan aksi dengan penuh menyakinkan apabila melancarkan serangan sebaik wisel perlawanan dibunyikan dan penyerang berbisa mereka, Badrul Hazim Hazmi meletakkan pasukan di hadapan pada minit ke-10.
Badrul Hazim membuktikan bisanya apabila sekali lagi mencetak nama selaku penjaring dengan gol kedua peribadi dan pasukan selang 12 minit kemudian.
Walaupun ketinggalan, NFDP B tidak mahu mengalah dan berjaya mencipta beberapa peluang keemasan namun kekentalan benteng pertahan dan penjaga gawang, Muhammad Aqil Hazwan memastikan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, giliran NFDP B pula dilihat lebih banyak menguasai perlawanan sekali gus memberikan tekanan buat lawan.
Ketika NFDP B ghairah menyerang memburu gol, Mohd Haziq Mohd Amiruddin muncul selaku penjaring gol ketiga buat NFDP A pada minit ke 33.
Kerja keras NFDP B memburu gol akhirnya berhasil menerusi rembatan deras Muhammad Farhan Darwisyh gagal diselamatkan Muhammad Aqil Hazwan yang sebelum itu kental mengawal gawang NFDP A.
Gol tersebut nyata menaikkan semangat anak didik Hassan Sazali Waras untuk terus memburu gol kedua namun keputusan 3-1 itu kekal sehinggalah tamat perlawanan.
Pada perlawanan akhir petang esok, NFDP A akan menanti pemenang pada satu lagi aksi separuh akhir di antara JDT Academy menentang kelab dari Thailand, Pattaya United.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!