Pemilik syarikat disyaki subahat tuntutan palsu RM10 juta direman
PUTRAJAYA - Pemilik syarikat direman empat hari kerana disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu bernilai kira-kira RM10 juta.
Perintah reman selama empat hari bermula Ahad sehingga Rabu ini dikeluarkan oleh Pendaftar Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi Ahad.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu dipercayai ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, pada jam 7 malam, Sabtu.
"Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan itu pada 2019 sehingga tahun ini," katanya.
Menurutnya, tangkapan terhadap suspek adalah susulan tangkapan seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas berkaitan tuntutan palsu dan penipuan kira-kira RM2 juta pada minggu lalu.
"Suspek yang juga pengurus syarikat pembaikan mesin di sebuah kilang pengeluaran barang keperluan asas disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan serta memberi rasuah kepada kakitangan syarikat yang meluluskan tuntutan palsu itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!