'Saya harap salah seorang masih bernyawa, tapi mak dan ayah sudah tiada'
PASIR GUDANG - “Kunci jam pukul 3 pagi, mak nak pergi kerja,”
Itu kata-kata terakhir daripada ibu yang masih terngiang-ngiang di telinga anak keduanya, Mohd Ikmal Danish Abdullah, 15, sebelum ibu dan bapanya maut akibat dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian pada Sabtu.
Dalam kemalangan pagi Sabtu, pasangan suami isteri, Mohd Redzwan Mohd Udi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal jenis Honda Vario maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Besar/ Jalan Masjid di sini.
Mohd Ikmal Danish berkata, hairan apabila ibunya berpesan sebegitu kerana kebiasaannya dia hanya akan bangun tidur pada jam 5 pagi atau 6 pagi.
“Saya pun tak tau kenapa tiba-tiba terjaga pada jam 3 pagi. Saya tengok kiri, kanan mak tak ada, ayah pun tak ada dan pada fikiran saya, tak mengapalah ayah hantar mak pergi kerja.
“Tapi tak lama lepas itu, kawan saya datang rumah beritahu bahawa ayah dan mak saya kemalangan di Tasek, Johor Bahru.
"Saya terus ke rumah nenek untuk beritahu perkara tersebut. Nenek bersama adik kemudiannya bergegas ke hospital," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Cendana, di sini pada Ahad.
Mohd Ikmal Danish berkata, tidak lama kemudian dia dihubungi adiknya memaklumkan bahawa ibu dan ayahnya sudah meninggal dunia.
"Saya minta tolong kawan untuk bawa saya ke hospital.
"Saya harap salah seorang daripada mereka masih hidup tetapi bila sampai, kedua-duanya sudah tak ada” katanya.
Pemandu MPV mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) itu ditahan kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol yang melebihi paras yang ditetapkan ketika kejadian.
Jenazah pasangan suami isteri berkenaan telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai pada Sabtu.
Pasangan suami isteri berkenaan meninggalkan lima anak, iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17 (oang kurang upaya), Nur Shahkira Mohd Redzwan,14; Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12 dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!