[VIDEO] Rasuah ADUN Sabah: 'Tiada perkara yang perlu dinafikan Warisan' -Shafie Apdal

A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada apa yang perlu dinafikan oleh Parti Warisan (Warisan) berhubung dakwaan isu skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilakukan oleh pihak pembangkang.

Malah presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, mereka juga tidak mengetahui siapa yang melakukan tuduhan tersebut dan ia bukan datang dari pihaknya.

Shafie Apdal
Shafie Apdal

"Kami tidak tahu siapa yang buat, kerana yang mengaku itu bukan saya, bukan kami pemimpin pembangkang. Yang bersuara ini YB (ADUN) mereka, bukan kita.

"Tidak ada apa-apa yang perlu dinafikan. Saya tidak pernah melihat video itu, yang ada pun di YouTube. Tapi yang bersuara ini mereka ahli Warisan kah? Mereka adalah ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis perasmian Persidangan Mesyuarat Agung Tahunan di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini pada Ahad.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin GRS yang mendakwa tuduhan skandal rasuah melibatkan ADUN mereka dipercayai didalangi pihak pembangkang.

Sehubungan itu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, biar pihak berkuasa yang menyiasat kebenaran mengenai isu skandal rasuah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sekarang ini persoalan yang berbangkit dalam media sosial kita serahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan. Saya tidak boleh kata perkara ini sehingga cukup jelas apa yang dibicarakan.

"Yang bersuara ini YB mereka, bukan kita, bukan saya menuduh, mereka yang cakap sendiri. Jadi perlu disiasat tentang kebenarannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!