SPRM perlu sedia garis panduan lebih jelas kepada awam
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyediakan garis panduan lebih jelas kepada orang ramai untuk menggalakkan semua pihak tampil melaporkan sebarang salah laku tanpa rasa takut atau bimbang dengan tindakan balas.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, walaupun Akta Pemberi Maklumat 2010 digubal, masih ramai tidak menyedari bahawa terdapat syarat dan keadaan tertentu yang boleh menyebabkan seseorang tidak layak mendapat perlindungan sebagai pemberi maklumat.
"Oleh itu, komunikasi lebih jelas dan menyeluruh perlu dilaksanakan supaya orang ramai yang ingin memberi maklumat bagi membantu menghapuskan rasuah tidak terperangkap dalam isu lain yang boleh merugikan mereka.
"Bagi setiap aduan yang diterima, tindakan susulan perlu dilakukan dengan segera dan menyeluruh untuk menyiasat kebenaran aduan tersebut.
"Hal ini penting bagi memastikan keadilan ditegakkan serta tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab," katanya pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, SPRM membidas helah individu mendakwa dirinya sebagai pemberi maklumat kepada dakwaan perbincangan antara seorang ahli perniagaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengenai rasuah untuk lesen projek.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, peguam individu terbabit ada bertemu SPRM pada 30 Oktober lalu untuk memberi maklumat terbabit dan meminta perlindungan serta imuniti di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010, supaya anak guamnya tidak disiasat dan dituduh di mahkamah.
Jelas Azam, namun agensi antirasuah itu tidak boleh memberikan imuniti terbabit sehingga kes dikemuka kepada pendakwa raya untuk keputusan.
Dalam pada itu, Zainal Adnan berkata, secara keseluruhannya, hasrat sebenar Akta Pemberi Maklumat 2010 yang bertujuan memberikan perlindungan kepada individu yang membuat laporan berasaskan niat baik dan berkaitan salah laku serius wajar dilaksanakan sepenuhnya.
Ujarnya, ia bagi memastikan keberkesanan usaha pembanterasan rasuah di negara ini.
Mengulas lanjut, Zainal memaklumkan bahawa isu asas yang lebih penting adalah usaha pembanterasan rasuah.
Jelasnya, langkah berkenaan bertujuan menghapuskan amalan rasuah yang menjejaskan kecekapan pentadbiran, kestabilan ekonomi dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
"SPRM perlu memandang serius setiap aduan yang berkaitan dengan rasuah dan salah guna kuasa. Sebarang maklumat yang diterima hendaklah diteliti dengan penuh ketelusan, integriti dan profesionalisme.
"Setiap aduan mesti disiasat secara adil dan menyeluruh. Jika pemberi maklumat layak dilindungi identitinya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, perlindungan itu wajib diberikan tanpa kompromi.
"Usaha bersama dalam melaporkan dan membanteras rasuah adalah kunci untuk membina masyarakat yang bersih, adil dan bermaruah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!