'Palmeiras kelab bola sepak, bukan bahagian perubatan'
KELAB bola sepak Liga Serie A Brazil menolak dakwaan akan menandatangani Neymar.
Pemain berusia 32 tahun itu sedang bergelut dengan tahap kecergasannya selepas perpindahan berprofil tinggi ke kelab Liga Pro Saudi Al Hilal pada musim panas lalu.
Oktober lalu, Neymar mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) bermain unuk Brazil dan telah diketepikan selama lebih setahun.
Dia kemudian mengalami kecederaan hamstring hanya dua perlawanan selepas kembali cergas sepenuhnya baru-baru ini.
Kecederaan itu akan menyaksikan dia tidak dapat bermain antara empat dan enam minggu, dengan kelab Arab Saudi itu dilaporkan bersedia melepaskan pemain itu pada penghujung musim.
Neymar telah dikaitkan dengan kepulangan ke kelab zaman kanak-kanaknya Santos selain seteru kuat kelab Brazil itu, Palmeiras.
"Pemain hebat, tetapi dia akan pergi ke Santos.
"Saya mahu melabur untuk seorang pemain yang boleh bermain serta-merta, yang boleh bermula esok jika jurulatih membuat keputusan.
"Palmeiras bukan bahagian perubatan.
"Saya tidak menerima bahawa pemain yang ditandatangani oleh Palmeiras tidak bersedia untuk bermain serta-merta," kata presiden kelab Palmeiras, Leila Pereira memberitahu media, UOL.
Media yang sama sebelum ini melaporkan bahawa Al Hilal akan melepaskan Neymar seawal Januari, dengan kelab itu semakin meragui peranan yang boleh dimainkannya dalam enam bulan terakhir musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!