PM bincang isu halal, dakwah dengan komuniti Islam di Brazil

Anwar tiba di Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, dari Lima, Peru, untuk lawatan rasmi dan juga menghadiri sidang kemuncak G20 atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva. Foto Bernama
Anwar tiba di Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, dari Lima, Peru, untuk lawatan rasmi dan juga menghadiri sidang kemuncak G20 atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva. Foto Bernama
A
A
A

RIO DE JANEIRO - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan program hari ini dengan sesi diskusi santai bersama komuniti Islam di sini.

Beliau turut menyatakan komitmen Malaysia dalam membantu urusan berkaitan halal selain usaha memartabatkan agama suci itu menerusi pendidikan dan dakwah kepada komuniti Islam di Brazil.

"Dalam pertemuan ini, kami dapat berbincang dan bertukar pandangan soal pembangunan ummah di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu wakil-wakil masjid tunggal di sini iaitu Masjid Luz.

Mewakili Masjid Luz ialah Presidennya, Mohamed Zeinhom Mohamed El Fateh Mohamed Abdien, Imam Sancho Jorge Mulungo @ Adam, Timbalan Pengarah Jabatan Sosial Julia Leal Menezes dan Pengarah Kewangan masjid berkenaan Abdullah AL Masri.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di sini selain menyerahkan senaskhah al-Quran cetakan khas dan 10 lagi yang merupakan terjemahan dalam Bahasa Portugis.

Beliau berkata, Malaysia juga akan menggerakkan usaha bagi membantu aktiviti di Masjid Luz.

Anwar tiba di bandar tepian pantai yang meriah dengan aktiviti pada Sabtu selepas menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Lima, Peru untuk lawatan rasmi pertamanya ke Brazil.

Artikel Berkaitan:

Malaysia bersama 16 negara lain termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam juga adalah negara tetamu untuk Sidang Kemuncak G20.

Lawatan Anwar itu atas jemputan Presiden Brazil Lula da Silva. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!