Pakar hortikultur juara labu gergasi empat tahun berturut- turut
HALF MOON BAY - Seorang pakar hortikultur di Minnesota kekal sebagai juara pertandingan buah labu terbesar empat tahun berturut- turut dalam kejohanan di Half Moon Bay, San Francisco.
Travis Gienger dari Minnesota, menewaskan pesaing terdekatnya sebanyak 2.7 kilogram (kg) yang sekali gus merangkul kemenangan pada Kejohanan Dunia Timbang Labu Ke-51 yang diadakan baru-baru ini.
Labu yang dimenangi Gienger mencecah 1,121kg, iaitu kurang daripada rekod dunia yang pernah dicatatkan pada tahun lalu sebanyak 1,247kg.
Lelaki berasal dari Anoka yang sering digelar 'guru hortikultur' berkata, dia menumpukan perhatian dengan menitik beratkan penggunaan tanah subur.
Bagaimanapun, musim sejuk baru-baru ini turut menjejaskan pertumbuhan labunya.
"Kami berdepan cuaca yang sangat ekstrem dan terpaksa bekerja keras untuk menghasilkan labu terbesar dan berjaya menyelesaikannya walaupun hasilnya tidak banyak," kata lelaki berusia 44 tahun.
Semasa menyertai pertandingan itu, Gienger dan keluarganya menempuh perjalanan dengan membawa labu gergasi selama 35 jam menuju ke California.
Beliau berkata, perhentian seterusnya labu gergasi itu adalah di California Selatan, di mana sepasukan pengukir profesional akan membuat ukiran tiga dimensi atau 3D di buah itu semasa acara Halloween. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!