Isu sempadan yang belum ada pengakhiran

Geografi Kelantan yang bersempadan negara jiran. Gambar hiasan
Geografi Kelantan yang bersempadan negara jiran. Gambar hiasan
A
A
A

WARNANYA kemerahan. Setiap 200 biji ada penanda sebutir berwarna hijau. Dalam ‘kamus’ dadah, 200 pil ini diberi julukan ‘sekandang’.

Saiznya sangat kecil berukuran 0.5 sentimeter dan berat pula sekitar 0.1 hingga 0.12 gram.

Kecil-kecil cili api, sekali dicuba boleh meruntuhkan sistem masyarakat dan sosial. Itulah pil kuda yang juga disebut pil yaba atau pil gila.

Geografi Kelantan yang bersempadan negara jiran menjadikan pil binasa itu berleluasa dijual di negeri ini.

Mengguna pakai model asas mikroekonomi, apabila permintaan melebihi penawaran, harga barangan cenderung meningkat, manakala sebaliknya apabila penawaran melebihi permintaan, harga jatuh.

Hal yang pasti kenyataan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, harga jualan sebiji pil kuda yang kurang daripada RM10 di Kelantan menyebabkan dadah stimulan itu menjadi pilihan pelajar sekolah untuk mula terjebak dalam penagihan.

Naluri ibu bapa mana yang tidak bimbang dengan situasi ini. Pil gila itu menjadi dadah paling popular di sini berbanding ganja, heroin dan syabu.

“Harga pil kuda di Kelantan murah kerana kos pengangkutan termasuk halangan (selepas diseludup dari Thailand) jauh lebih rendah. Sebiji pil kuda di negeri ini boleh dijual pada harga bawah RM10 berbanding di negeri-negeri lain iaitu RM15,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut membangkitkan budaya anak muda negeri ini yang gemar berhibur di Golok, Narathiwat sehingga mendedahkan diri kepada risiko terjebak dadah.

Kes penyanyi wanita dikir barat moden Kelantan bersama lima rakan ditahan kerana memiliki 6,000 pil kuda selepas selesai berhibur di hotel di Golok pada 1 November lalu, sekali menyentakkan kita. Isu sama, sudah lama belum juga selesai.

Peta sempadan antara Kelantan dan Thailand dipisahkan dengan Sungai Golok yang sempit. - Gambar Google.
Peta sempadan antara Kelantan dan Thailand dipisahkan dengan Sungai Golok yang sempit. - Gambar Google.

Justeru, Mohd Yusoff mencadangkan supaya sempadan Kelantan-Thailand dibina buffer zone atau zon penampan.

Bukan usul baharu kerana Mac lalu penulis pernah melaporkan bahawa Ketua Polis Kelantan sebelum ini, Datuk Muhamad Zaki Harun sudah membentangkan cadangan ini di peringkat Kementerian Dalam Negeri.

Mohd Yusoff juga mengutarakan antara langkah paling relevan bagi pengawalan sempadan adalah dengan mengambil alih tanah penduduk untuk dijadikan buffer zone.

Kita sedia maklum kos untuk merealisasikan langkah ini amat tinggi dan tempoh masa lama. Laksanakanlah secara berperingkat.

Andai kata tidak boleh menghalang semua pun kuantiti dadah yang dibawa masuk, dikurangkan separuh pun sudah dikira berjaya.

Isu penyeludupan di sempadan ini tidak hanya melibatkan dadah. Penyeludupan migran serta senjata api juga masuk ikut laluan tikus atau pangkalan haram.

Dulu migran banyak bertumpu di bandar besar seperti Kuala Lumpur, kini di Melor, Kota Bharu sudah wujud perkampungan Rohingya.

Sudah tiba masa kerajaan pusat sendiri campur tangan. Baik pemerintah di Persekutuan dan negeri perlu duduk di meja rundingan. Perhalusi, permudahkan segala kerenah birokrasi. Ini soal keselamatan negara.

Di buffer zone, bina tembok siap dengan kelengkapan kamera litar tertutup serta kerahkan lebih ramai anggota pihak berkuasa lengkap bersenjata mengawal sempadan.

Pelajar sekolah yang menyeberang di kedua-dua negara perlu guna laluan betul atau pindah sekolah di belah Malaysia.

Perlu tegas, jangan terus gadaikan kedaulatan negara yang semakin runcing dengan masalah sempadan terlalu dekat dan diameter sempit Sungai Golok.

Sebelum ini, kecoh dua pangkalan haram dirobohkan. Sudah sampai ke tahap mana usaha hendak hapuskan lebih 100 pangkalan haram di Kelantan tu?

Isu ekonomi penduduk di kedua-dua negara, sumbernya perlu melalui jalan betul bukan lorong tikus dan seludup barang salah.

Kita semua rakyat Malaysia terutama pihak berwajib ada tugas dan tanggungjawab untuk menjaga amanah serta kedaulatan negara.

Benarlah, akhirnya semua atas diri sendiri, tetapi sanggupkah kita diam terus berpeluk tubuh melihat kedaulatan negara semakin hari semakin dicabar pihak tidak bertanggungjawab.

Ayuh bangkit!

* Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian biro Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!