Gerun pandu kereta sebelah lori kontena
MERAK Jalanan sedih membaca berita seorang wanita maut apabila kontena yang dibawa sebuah treler tumbang dan menghempap keretanya di Pulau Pinang baru-baru ini.
Lebih menyayat hati, mangsa sempat membuat panggilan kepada ibunya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Merak Jalanan masih tidak boleh hadam bagaimana kontena yang begitu berat boleh tumbang sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Apatah lagi ketika semua kenderaan berhenti di jalan sesak atau di lampu isyarat, bagaimana kita nak lari? Tak sempat pun nak buat apa-apa sebab difahamkan lori tersebut laju.
Teringat kes pada tahun 2023 yang berlaku di Putrajaya apabila sebuah lori merempuh 11 kenderaan sehingga menyebabkan dua maut dan beberapa individu lain cedera. Ingatkan insiden itu sudah cukup sadis, tapi rupanya pada tahun ini ada yang lebih menyedihkan.
Cuba bayangkan, situasi ketika itu, mangsa yang berhentikan kereta tidak tahu apa berlaku di hadapan mereka dan tidak sempat mengelak pun kontena yang jatuh.
Selepas tragedi itu berlaku, Merak Jalanan sendiri fobia jika memandu melepasi kontena terutama apabila kenderaan berat tersebut dipandu laju.
Justeru, kerajaan wajar meneliti semula kelayakan memandu lori kontena dan sudah tiba masanya untuk memperketat peraturan terutama had laju serta kondisi kenderaan.
Lori kontena yang beroperasi dalam keadaan penyelenggaraan tidak sempurna seperti brek dan tayar perlu dikenakan tindakan lebih tegas.
Kita tidak mahu lagi kes-kes seperti ini berlaku terutama kepada ahli keluarga kita kerana kes seperti boleh dibendung di peringkat awal.
Merak Jalanan juga berharap siasatan yang rapi dibuat terhadap kes yang menimpa wanita tersebut agar pemandu kontena itu dikenakan hukuman setimpal jika terbukti bersalah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!