Hubungan sejenis jadi 'perangkap' HIV

Joshua
Joshua
A
A
A

KUCHING - Angkara hubungan sejenis, seorang lelaki berusia 26 tahun dijangkiti HIV kerana melakukan hubungan seks tanpa menggunakan sebarang perlindungan.

Seorang bekas penyambut tetamu hotel, Joshua bukan nama sebenar berkata, dia mula menyukai pasangan sejenis sejak di bangku sekolah lagi.

“Walaupun saya menyukai lelaki sejak sekolah, namun saya tidak pernah ‘bercinta’ dengan sesiapa sehingga usia mencecah 19 tahun.

“Saya mula memberanikan diri melakukan perkara keji itu selepas keluar dari rumah untuk menyambung pengajian di bandar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam hal itu, Joshua memaklumkan dirinya begitu naif kerana mempercayai kata-kata pasangan bahawa dia tidak melakukan hubungan seks rambang.

Menurutnya, kenyataan tersebut yang membuatkan dia yakin dan berani untuk bersetubuh tanpa menggunakan kondom.

“Setelah beberapa kali melakukan perkara itu, saya berdepan masalah kesihatan seperti berat badan menurun dan hilang selera makan. Tidak lama kemudian, saya diserang sawan sehingga memerlukan rawatan di hospital.

“Ketika itu, saya baru mengetahui bahawa diri telah pun dijangkiti HIV daripada pasangan. Saya menyesal dan nekad untuk berpisah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Joshua, selepas didiagnos menghidap jangkitan virus tersebut maka bermula episod ulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, dia enggan berputus asa walaupun tiada lagi peluang untuk sembuh sepenuhnya, namun percaya kepada usaha berterusan mampu mengembalikan semula kehidupan yang hilang empat tahun lalu.

Sementara itu, seorang penganggur, David Lee, 32, turut dijangkiti HIV pada tahun 2022 kerana hubungan seks sesama jantina selepas setahun aktif melakukan hal berkenaan.

David berkata, dia menyifatkan jangkitan itu sebagai hukuman daripada Tuhan kerana melakukan perkara yang dilarang.

David (kanan) berkongsi cerita kepada penulis tentang permulaan hidupnya yang terjebak hubungan sejenis hingga membawa mudarat.
David (kanan) berkongsi cerita kepada penulis tentang permulaan hidupnya yang terjebak hubungan sejenis hingga membawa mudarat.

“Dalam kes saya ini, saya tidak melakukan hubungan seks rambang sebaliknya hanya ‘setia’ kepada seorang pasangan sahaja.

“Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa tubuh badan saya mula berubah (turun berat badan mendadak) dan sering demam,” jelasnya.

Susulan itu, David memaklumkan bahawa dia ke klinik untuk mendapatkan rawatan, namun selepas menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkan bahawa tubuhnya telah dijangkiti HIV.

Menurutnya, status kesihatan terkini masih belum diketahui oleh keluarga dan dia nekad untuk merahsiakan hal itu kerana khuatir akan disisih.

“Saya tidak akan beritahu kepada keluarga yang saya ada HIV. Saya tahu mereka tidak akan terima saya lagi jika tahu perkara sebenar.

“Oleh itu, saya patuh kepada ubat dan makan tepat pada masa untuk memastikan virus ini berada pada tahap rendah bagi membolehkan saya melakukan aktiviti harian seperti biasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!