Mak Cik Tanjak fokus busana tradisi

Siti Rodziah menunjukkan beberapa jenis tanjak yang dijual di galerinya di Arked Mara Sungai Besar.
Siti Rodziah menunjukkan beberapa jenis tanjak yang dijual di galerinya di Arked Mara Sungai Besar.
A
A
A

SABAK BERNAM - Menceburi dunia perniagaan dengan menjadi tukang jahit busana tradisional lelaki bukanlah sesuatu yang mudah.

Itulah yang dikongsi oleh pemilik Mak Cik Tanjak, Siti Rodziah Saaid, 54.

Katanya, hasil perniagaan busana tradisi yang diusahakan itu tidak menentu kerana permintaannya bermusim.

Menurutnya, ia berbeza jika memilih menjual pakaian biasa yang sentiasa mempunyai pelanggan daripada pelbagai latar belakang.

Sebahagian koleksi busana tradisional yang dihasilkan sendiri oleh Siti Rodziah.
Sebahagian koleksi busana tradisional yang dihasilkan sendiri oleh Siti Rodziah.

“Bagaimanapun, bukanlah keuntungan yang saya cari, sebaliknya saya ingin menghargai identiti busana Melayu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Busana tradisi tetap mendapat permintaan tinggi terutama pada musim perayaan, hari kemerdekaan dan jika ada acara-acara yang memerlukan pelanggan mengenakan pakaian bertemakan tradisional,” kata ibu kepada empat anak itu.

Artikel Berkaitan:

Siti Rodziah berpengalaman menjahit pakaian sejak berusia 18 tahun.
Siti Rodziah berpengalaman menjahit pakaian sejak berusia 18 tahun.

Meskipun mempunyai pengalaman menjahit pakaian sejak berusia 18 tahun, Siti Rodziah mengakui tidak pernah berasa menyesal dengan pilihannya yang mahu memberi tumpuan dalam penghasilan busana Melayu.

“Saya mula mencari rezeki menjahit lebih 30 tahun dahulu sebelum berkahwin dan kemudian beralih arah kepada jahitan busana Melayu sejak empat tahun kebelakangan ini.

“Fokus saya sekarang adalah menghasilkan busana Melayu termasuklah menyediakan perkhidmatan menjahit tanjak, busana layang, baju rakyat, seluar silat, samping songket dan merdeka, bengkung serta selempang,” katanya.

-SH: PILIHAN TANJAK

Sentiasa mendapat sokongan dan galakan daripada suami, Khairuddin Sapwani, 59, Siti Rodziah tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya terus berusaha memartabatkan seni warisan budaya itu.

Galeri jualannya yang terletak di Arked Mara Sungai Besar kini menjadi tumpuan pelanggan sama ada yang mahu menempah atau membeli secara terus.

Siti Rodziah sangat menghargai identiti busana Melayu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Siti Rodziah sangat menghargai identiti busana Melayu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Terdapat pelbagai rekaan baju Melayu lelaki ditawarkan kepada pelanggan, selain pilihan tanjak yang digunakan sebagai penutup kepala oleh lelaki Melayu pada zaman dahulu.

“Budaya pemakaian tanjak nampaknya kembali mendapat perhatian, malah tular di media sosial sehingga mendorong saya untuk menghasilkan serta memperkasa semula tanjak sebagai alas kepala yang serba unik,” katanya.

Menurut Siti Rodziah, terdapat dua jenis rekaan tanjak iaitu warisan dan kreasi yang menjadi pilihan pelanggan.

Jelasnya, tanjak kreasi lebih kepada rekaan moden, unik dan motifnya sesuai untuk pemakai masa kini, manakala tanjak warisan pula diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang.

“Antara jenis tanjak warisan yang saya hasilkan seperti Sireh Acheh, Balong Raja, Nakhoda Terung dan Ayam Patah Kepak.

“Aksesori kepala yang dipakai dengan busana Melayu ini pada kebiasaannya akan dipadankan dengan bengkung, samping berserta keris selit,” tambahnya.

Beberapa koleksi bengkung songket yang dijahit sendiri.
Beberapa koleksi bengkung songket yang dijahit sendiri.

Dari segi cabaran dalam dunia perniagaan, Siti Rodziah mengakui berdepan cabaran ‘teknologi’ apabila pelanggan kini lebih cenderung berbelanja dalam platform e-dagang berbanding berkunjung ke galeri atau kedai.

“Saya belum ke arah itu (menjual produk dalam e-dagang) dengan membuat jualan secara live dan sebagainya, sebaliknya masih mengekalkan jualan di galeri yang membolehkan pelanggan memilih dan mencuba sendiri busana diinginkan.

“Saya tidak menolak kemajuan teknologi kerana kita perlu seiring supaya tidak ketinggalan. Mungkin suatu hari nanti anak-anak saya yang celik teknologi boleh mengembangkan perniagaan warisan ini dengan cara seperti itu.

“Inilah persaingan sihat dalam perniagaan dan paling penting peniaga perlu berani menyahut cabaran baharu pada era serba teknologi masa kini,” katanya.

Sementara itu, menurut Siti Rodziah, dia mampu menjana pendapatan secara purata sehingga RM2,000 sebulan dan meningkat sekali ganda pada bulan tertentu.

“Saya bersyukur kerana dengan hasil pendapatan ini saya dapat membantu menambah rezeki buat keluarga, selain tidak mahu membebankan suami terutama dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!