Rasa takut punca golongan risiko hidap HIV tidak lakukan saringan
KUCHING - Ramai dalam kalangan golongan berisiko dijangkit HIV dikesan tidak melakukan ujian saringan kerana takut berhadapan dengan realiti sekiranya disahkan menghidap virus itu.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen HIV/STI/Hepatitis C, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Ruziana Miss berkata, angka yang dicatatkan Sarawak mungkin lebih tinggi, namun disebabkan rasa takut mereka enggan berbuat demikian.
“Sebenarnya, ada perkara yang jauh lebih penting untuk kita tangani iaitu memastikan kumpulan yang berisiko dijangkiti HIV tampil membuat saringan kesihatan.
“Ada banyak cara untuk periksa status kesihatan antaranya saringan di klinik kesihatan, melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lakukan ujian HIV kendiri.
“Dalam hal ini, tiada siapa akan datang membantu melainkan diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Dr Ruziana, golongan berkenaan juga tidak perlu khuatir kerana rawatan melalui pengambilan ubat mampu untuk mengekang virus itu daripada ‘melumpuhkan’ keseluruhan organ badan.
Katanya, usaha yang berterusan tanpa gagal akan membantu seseorang memperoleh kehidupan normal.
“Ubat yang diberikan doktor kepada pesakit HIV adalah untuk membantutkan pertambahan virus dalam tubuh (virus tidak dapat dikesan).
“Kajian turut menunjukkan bahawa virus yang tidak dapat dikesan juga tidak mampu menjangkiti orang lain,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai peningkatan jumlah HIV di Sarawak disebabkan hubungan seksual, Dr Ruziana berkata, pertambahan kes itu berlaku sejak tahun pertama jangkitan itu dikesan iaitu pada 1989. Bagaimanapun, beliau berkata, pertambahan kes disebabkan hubungan seks tidak begitu ketara.
“Memang ada peningkatan tapi ia peningkatan yang perlahan tidak begitu berbeza.
“Pun begitu, jika kita tidak membendung perkara itu dengan melakukan program pencegahan maka ia akan semakin meningkat,” jelasnya.
Mengulas mengenai usaha pencegahan, Dr Ruziana memaklumkan bahawa, pegawai yang bertugas pusat kesihatan daerah sering melakukan pendedahan mengenai hal itu di mana-mana agensi dan sekolah.
Katanya, ia juga disusuli dengan aktiviti pameran, majlis sambutan hari AIDS sedunia di peringkat daerah dan negeri.
“Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengembalikan semula Program Sihat Tanpa AIDS (Prostar) dan menjenamakan semula kepada Prostar 2.0.
“Kita mahu tingkatkan semula pengetahuan mengenai HIV dalam kalangan remaja khususnya pencegahan terhadap penyakit berjangkit itu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!