SSB berjaya selamatkan 120 gajah Pygmy

Antara dua ekor gajah Pygmy yang berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Antara dua ekor gajah Pygmy yang berusia antara 30 hingga 50 tahun.
A
A
A

TAWAU - Sejumlah 120 gajah Borneo atau Pygmy berjaya diselamatkan oleh Sabah Softwood Berhad (SSB) hasil pembinaan koridor khas sepanjang 14 kilometer antara Hutan Simpan Ulu Kalumpang dan Ulu Segama sejak 2014.

Pengurus Bahagian Kelestariannya, Mohd Hafizzul Samutu berkata, koridor khas itu juga berhasil mengelakkan kerosakan tanaman disebabkan gajah, sekali gus mengurangkan 100 kali ganda kerugian yang ditanggung pihaknya.

Menurutnya, pembinaan berkenaan merupakan kerjasama dengan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang boleh mewujudkan keseimbangan biodiversiti dan usaha ke arah pemulihan hidupan liar.

“Kerugian itu berjaya dikurangkan daripada RM500,000 kepada RM5,000 setahun. Jadi, ia memudahkan pergerakan hidupan liar spesies terancam tanpa menjejaskan tanaman komoditi iaitu ladang kelapa sawit.


Pengamal media bergambar dengan kakitangan SSB semasa sesi lawatan kerja ke SSB pada Isnin. Foto Asyraf MPOCGF
Pengamal media bergambar dengan kakitangan SSB semasa sesi lawatan kerja ke SSB pada Isnin. Foto Asyraf MPOCGF

“Koridor khas ini juga mengurangkan konflik dengan manusia (human wildlife conflict) terutama di ladang dan kawasan perumahan pekerja.

“Lagipun, ia penting kerana menghubungkan hidupan liar ini dari Hutan Simpan Ulu Kalumpang di bahagian Tenggara Selatan ke Hutan Simpan Ulu Segama di bahagian utara,” katanya kepada pemberita semasa sesi lawatan kerja ke SSB pada Isnin.

Lawatan kerja yang berlangsung dari 12 hingga 16 November itu dianjurkan oleh MPOGCF, melibatkan 31 pengamal media daripada pelbagai platform.

Artikel Berkaitan:

Ia bertujuan mempamerkan komitmen industri minyak sawit dalam melaksanakan amalan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.


Mohd Hafizzul memberi keterangan kepada pengamal media dengan menunjukkan kawasan Hutan Simpan Ulu Segama dan Hutan Simpan Ulu Kalumpang.
Mohd Hafizzul memberi keterangan kepada pengamal media dengan menunjukkan kawasan Hutan Simpan Ulu Segama dan Hutan Simpan Ulu Kalumpang.

Selain itu, Mohd Hafizzul memaklumkan, pihaknya turut menanam rumput jenis Napier di sepanjang koridor sebagai langkah menarik pergerakan gajah-gajah serta hidupan liar lain di sepanjang koridor berkenaan.

Ujarnya, kajian turut dilaksanakan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengetahui keberkesanan tanaman berkenaan pemakanan gajah liar di kawasan yang terlibat.

“Kami juga memasang kolar pada gajah-gajah di sekitar ladang SSB untuk memantau pergerakan mereka.

“Kamera perangkap pula dipasang bagi mengenal pasti hidupan liar lain seperti orang utan di kawasan kajian,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah perbelanjaan terhadap projek koridor berkenaan, Mohd Hafizzul berkata, sebanyak RM25 juta dibelanjakan sejak 2013.

“Jumlah itu turut termasuk geran daripada syarikat korporat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti World Wildlife Fund (WWF),” ujarnya.

________________________________________________________________________

MPOCGF belanja RM2.7 juta bina klinik, kandang gajah Pygmy

KINABATANGAN - Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOCGF) memperuntukkan hampir RM2.7 juta untuk projek pembinaan klinik dan kandang gajah Pygmy baharu.

Projek bermula September laku itu mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Eksekutif Pemuliharaannya, Daniel Khamim berkata, projek tersebut dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengkaji populasi haiwan liar berkenaan di kawasan ladang kelapa sawit.

“Dalam projek tinjauan gajah ini, teknologi canggih seperti penggunaan kamera perangkap dan pewarnaan gajah bagi memantau pergerakan mereka digunakan.


Pihak media berpeluang memberi makan kepada gajah-gajah Pygmy di dalam kandang.
Pihak media berpeluang memberi makan kepada gajah-gajah Pygmy di dalam kandang.

“Semua data yang dikumpulkan ini penting untuk menyediakan pelan pengurusan yang lebih efektif bagi spesies terancam itu,” katanya kepada pemberita semasa sesi lawatan kerja ke Santuari Gajah Borneo (BES) pada Jumaat.

Lawatan kerja yang berlangsung dari 12 hingga 16 November itu dianjurkan oleh MPOGCF, melibatkan 31 pengamal media daripada pelbagai platform.

Ia bertujuan mempamerkan komitmen industri minyak sawit dalam melaksanakan amalan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Daniel
Daniel

Menurut Daniel, walaupun MPOGCF masih baharu, ia sudah mencatatkan kejayaan yang memberangsangkan dalam projek-projek yang dijalankan.

“Tetapi, masih banyak kerja yang perlu dilakukan terutama untuk dapatkan kerjasama daripada pemegang taruh tempatan, komuniti dan syarikat untuk menyokong usaha konservasi ini,” katanya.

Selain itu, tambah Daniel, ekopelancongan turut dilihat sebagai satu inisiatif penting untuk mempromosikan konservasi hidupan liar di Sabah.

Tambahnya, projek tersebut memberi peluang kepada pelancong untuk melihat hidupan liar seperti gajah bebas berkeliaran.

“Jadi, projek konservasi ini merupakan usaha yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Kami juga berharap ia dapat memberi kesan positif kepada masyarakat dan ekosistem di kawasan ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!