[VIDEO] Bung Moktar, isteri diperintah bela diri kes rasuah RM2.8 juta
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datin Seri Zizie Izette A Samad diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta, berhubung pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Ini bermakna Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya itu, terpaksa menjejakkan kaki ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.
Keputusan sebulat suara berkenaan dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan pasangan suami isteri itu, pada 7 September 2023 lalu.
Ketika membaca keputusan itu, Mohamed Zaini berkata, isu kritikal yang dibangkitkan dalam rayuan pihak pendakwaan ialah, sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan prima facie oleh Mahkamah Sesyen.
Beliau berkata, Bung Moktar dan Zizie Izzete selaku responden, tidak boleh menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri, kerana dapatan di peringkat itu tidak tertakluk kepada rayuan.
"Perbicaraan mesti diteruskan bagi membolehkan kedua-duanya mengemukakan pembelaan yang adil.
"Permohonan semakan sebenarnya adalah isu interlokutori yang hanya boleh dicabar dalam prosiding rayuan selepas perbicaraan di peringkat pembelaan, selesai,'' katanya.
Selain itu beliau berkata, keputusan hakim Mahkamah Sesyen adalah ringkas dan tidak memerlukan alasan yang komprehensif, maka tiada kewajipan untuk memberikan alasan ketika memerintahkan responden membela diri.
Katanya, alasan hanya wajar diberikan pada akhir kes pembelaan ketika mensabit atau membebaskan tertuduh.
Hakim ini berkata, keputusan hakim Mahkamah Tinggi tidak mengandungi alasan material yang mencukupi ketika membenarkan permohonan semakan.
Beliau berpendapat, perbicaraan yang adil turut terpakai kepada pihak pendakwaan dan keputusan membenarkan permohonan semakan ke atas keputusan prima facie hanya akan mengganggu perbicaraan.
"Selepas ini, ia akan mewujudkan situasi yang mana, mahkamah akan menerima banyak permohonan terhadap perintah yang dibuat semasa perbicaraan, sekali gus membuang masa mahkamah dan perbelanjaan awam,'' katanya.
Selepas memerintahkan dua responden ini membela diri, mahkamah menetapkan sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 5 Disember depan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung Moktar juga dituduh atas pertuduhan ketiga, secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 dan 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan ini membela diri atas tuduhan berkenaan.
Pada 7 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan berhubung keputusan berkenaan.
Ekoran keputusan itu, Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
Hampir dua minggu kemudian, pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September 2023 berhubung keputusan pembebasan mereka.
Sementara itu, Bung Moktar dan isterinya bersedia membela diri atas tiga kes rasuah RM2.8 juta dihadapi mereka.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding rayuan pendakwaan di Istana Kehakiman pada Isnin, Bung Mokhtar berkata, beliau akur dengan keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri.
"Insya-ALLAH. Tiada masalah. Kalau itu tuntutannya, kena lah (naik turun mahkamah)," katanya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!