Wanita maut bertembung kereta dipandu lelaki positif dadah

Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terlibat nahas di Kampung Benting Lintang, Besut pada petang Ahad. Situasi di lokasi kemalangan membabitkab dua buah kenderaan jenis Honda City dan Perodua Myvi.
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terlibat nahas di Kampung Benting Lintang, Besut pada petang Ahad. Situasi di lokasi kemalangan membabitkab dua buah kenderaan jenis Honda City dan Perodua Myvi.
A
A
A

BESUT - Seorang wanita maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lagi kenderaan dipandu seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah dalam kejadian di Kampung Benting Lintang, di sini pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, mangsa, Norra Zafidah Ahmad Zaibidin, 45, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa bersama tiga lagi individu termasuk pemandu berusia 62 tahun menaiki kereta jenis Honda City dari arah Kuala Terengganu menghala ke Bachok, Kelantan

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba- tiba sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 26 tahun telah terbabas lalu masuk ke laluan kereta Honda City menyebabkan keduanya bertembung.

"Ketika itu, Perodua Myvi yang turut membawa seorang penumpang lelaki berusia 20 tahun dari arah Kampung Raja menghala ke Setiu," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, nahas itu turut menyebabkan pemandu Perodua Myvi cedera parah di kepala dan bahagian abdomen.

"Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri, dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut manakala mangsa kemalangan yang lain dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

"Setakat ini, mangsa lain yang terlibat kemalangan dilaporkan dalam keadaan stabil,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, ujian saringan awal sampel darah pemandu Perodua Myvi itu mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Jelas beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Noraini Muhammad Zin di talian 013-4384239.

"Pihak polis juga ingin menasihati para pengguna jalanraya supaya berhati-hati semasa memandu dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan, bagi mengelakkan berlakunya kemalangan," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!