Bomba teruskan SAR warga emas di Sungai Pengkalan
ALOR GAJAH - Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas dipercayai terjatuh di Sungai Pengkalan di sini pada awal pagi Ahad.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc Zulkhairani Ramli berkata, meskipun kehilangan Mokthar Othman, 61, sudah melebihi 31 jam dilaporkan, namun setakat ini belum ada sebarang petunjuk selepas lebih 26 jam operasi dijalankan.
Beliau berkata, pihaknya tidak tolak kemungkinan orang yang hilang (OYH) berada di tempat lain kerana gagal menemui sebarang petunjuk keberadaan mangsa di dalam sungai sejak operasi SAR bermula pagi Ahad.
"Operasi SAR pada Ahad melibatkan lebih 37 anggota dan hari ini juga akan diperluas melibatkan lebih ramai anggota serta Unit Anjing Pengesan (K9).
"Pencarian juga masih diteruskan di air berdasarkan beberapa petunjuk fizikal seperti selipar di tebing dan rakaman video dari video 'dashcam kereta OYH," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Tambahnya, setakat ini juga pihaknya tidak mengklasifikasikan kes ini akibat lemas.
Terdahulu media pada Ahad melaporkan seorang pengurus kilang dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan ketika berada di tebing sungai tersebut.
Warga emas terbabit sebelum itu sempat memberitahu isterinya yang dia sakit perut dan mahu menggunakan tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera, Sungai Pengkalan di sini namun berkunci.
Menerusi kamera di papan pemuka kereta terbabit memaparkan mangsa kelihatan mundar-mandir di hadapan tandas dipercayai disebabkan ia berkunci kira-kira jam 2 pagi.
Bagaimanapun pemeriksaan bomba sebaik pintu tandas dibuka juga tidak menemukan lelaki terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!