Punggah bauksit secara haram: Bawa ke pengadilan tanpa kira jawatan
KUANTAN - Penahanan tiga individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur sah perlu disiasat dengan lebih telus dan mendalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri berkata, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau jawatan individu yang terlibat dalam pelanggaran prosedur berkenaan.
"Sekiranya memang benar berlaku pelanggaran prosedur, saya mohon siasatan lebih lanjut dan mendalam agar pihak yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira hierarki perjawatan dalam mana-mana agensi.
"Saya tiada kompromi terhadap sebarang isu pelanggaran prosedur melibatkan pengeluaran hasil bumi atau hutan di dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Lembing," katanya pada Isnin.
Beliau turut terkejut mendengar berita tersebut kerana berdasarkan maklumat, pengeluaran bauksit masih berada di peringkat simulasi untuk diberikan lesen kepada satu syarikat dan pemilik tanah sahaja di Bukit Goh.
Jelasnya, namun, mereka yang terlibat belum diberikan sebarang lesen untuk beroperasi oleh pihak berkuasa di atas permohonan mereka.
"Apa yang berlaku ini jelas melanggar undang-undang dan mencemarkan usaha kita untuk memastikan pengurusan hasil bumi dijalankan secara beretika.
"Justeru, bagi saya, ini bukan sahaja soal undang-undang, tetapi juga soal integriti dan keadilan. Saya komited memastikan sebarang aktiviti haram sebegini tidak berulang," kata beliau lagi.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Andansura Rabu memaklumkan parti itu menyokong penuh tindakan SPRM dalam membanteras aktiviti pemunggahan hasil bumi secara haram yang dilaporkan berlaku di daerah ini.
Jelasnya, langkah tegas ini penting demi melindungi kekayaan sumber alam negeri daripada dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
"Penyalahgunaan kuasa adalah pengkhianatan. Kami mengutuk keras sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa yang mencemari integriti pentadbiran.
"Perbuatan melindungi kegiatan haram seperti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga mengkhianati amanah rakyat dan mencemarkan nama baik negeri Pahang," katanya.
ADUN Beserah turut menegaskan setiap pihak berkepentingan perlu berperanan memastikan sumber negeri diuruskan secara telus dan bertanggungjawab.
Tambah beliau, ini selaras dengan hasrat kami untuk menjadikan Pahang sebuah negeri yang bersih dan bebas
"Kami menyeru semua pihak, termasuk rakyat dan badan-badan berkepentingan, untuk terus bekerjasama dalam melaporkan aktiviti haram serta mengekalkan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan seperti SPRM.
"Siasatan yang telus dan tindakan yang adil amat penting untuk menjamin keadilan ditegakkan," jelas beliau.
SPRM sebelum ini menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini yang disyaki dilindungi pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.
Dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh di sini pada Khamis, tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit ditahan kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!