Maknai ekonomi manusiawi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KETIKA kita melangkah ke hadapan untuk membina lebih makmur dan dinamik penting untuk kita ingat bahawa kekuatan ekonomi tidak hanya bergantung pada kekayaan atau sumber semata-mata, tetapi pada keterangkuman dan keadilan institusi kita.

Seperti yang ditegaskan pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 2024 terkenal Daron Acemoglu, negara berkembang apabila mereka mengamalkan institusi yang inklusif, yang merangkumi, yang merangkul dan mendakap penyertaan segenap lapisan rakyat—institusi yang memberi kuasa kepada setiap rakyat untuk menyertai kehidupan politik dan ekonomi masyarakat.

Di Selangor, kita percaya kepada ekonomi yang menyediakan peluang untuk semua, bukan hanya kepada golongan tertentu.

Kami tekad untuk melaksanakan dasar yang membuka peluang kepada pendidikan, keusahawanan, dan pekerjaan untuk setiap individu tanpa mengira latar belakang.

Ini bukan sahaja perkara yang betul untuk dilakukan—ini pemangkin kepada pertumbuhan mampan dan jangka panjang.

Mutakhir ini seringkali kita mendengar istilah ‘disruption’ dilaungkan. Ia bukanlah sesuatu yang baharu.

Ahli ekonomi Joseph Schumpeter pernah memperkenal konsep pemusnahan kreatif. Dalam karyanya Capitalism, Socialism and Democracy (1942) beliau menyebut:

“The process of Creative Destruction is the essential fact about capitalism. It is what capitalism consists of and what every capitalist concern has got to live in.”

Artikel Berkaitan:

Waima demikian, sementara Acemoglu dan lain-lain mungkin positif mengenai ‘The gale of creative destruction’ atau badai kencang pemusnahan kreatif, Schumpeter memberi amaran tatkala inovasi baharu menggantikan yang lama, mengubah landskap ekonomi dan industri, ia sesuatu yang mengganggu serta menjengkelkan.

Kita akur inovasi mengubah cara kita hidup dan bekerja, dan ia pemacu kepada ekonomi lebih maju.

Akan tetapi, kita tidak mengabaikan ekonomi manusiawi, yang diungkapkan perdana menteri dalam bukunya Gelombang Kebangkitan Asia.

Kita tidak takut akan perubahan. Kita akan terus menggalakkan inovasi, menyokong perusahaan baharu, dan mempromosikan industri masa depan, walaupun kita sedar ia mungkin mencabar status quo. Ini langkah penting untuk mewujudkan pekerjaan lebih baik dan ekonomi lebih dinamik.

Namun, tiada apa yang dapat dicapai tanpa sebuah kerajaan yang kuat dan bertanggungjawab. Sebuah kerajaan yang menjaga rakyatnya, yang menguatkuasakan undang-undang secara adil, dan yang beroperasi dengan telus.

Seperti yang ditegaskan oleh Acemoglu dalam Why Nations Fail, apabila kerajaan kuat tetapi tidak inklusif, ia berisiko menjadi apa yang beliau sebut ‘extractive’ iaitu apabila kuasa dan kekayaan menumpu, ‘centralized’, ia hanya menyedut, menjadi kerajaan pelahap, ‘rent seeker’, demi kepentingan elit semata-mata tanpa menambah nilai kepada ekonomi dan negara.

Cekap berkhidmat

Visi kita untuk Selangor adalah sebuah kerajaan yang berkeupayaan dan bertanggungjawab, yang berkhidmat kepada rakyat dengan cekap dan berwibawa.

Acemoglu mengingatkan masyarakat yang maju dibina atas kemajmukan politik. Di Selangor, kekuatan kita terletak pada kepelbagaian—dalam komuniti, suara, dan bakat yang membentuk negeri kita.

Kita akan terus melaksanakan dasar yang memperkasa masyarakat untuk mengambil bahagian dalam pembuatan keputusan, memastikan pentadbiran dikongsi bersama dan tidak tertumpu pada segelintir pihak.

Pentadbiran ini juga menyedari situasi global yang semakin berubah dan mencabar. Kali terakhir saya membentang belanjawan negeri pada tahun lalu, seluruh dunia bergelut dengan situasi Perang Russo-Ukraine yang pada ketika itu seakan-akan menyebelahi Ukraine.

Kita juga tidak menyangka kezaliman rejim Zionis Israel terhadap warga Palestin di Gaza dan West Bank menjadi genosid sehingga hampir mencetus perang serantau di Timur Tengah dengan kemasukan secara aktif Iran ke dalam medan pertempuran.

Keputusan pemilihan Presiden Amerika Syarikat sedikit sebanyak terkait dengan kedua-dua perang aktif ini, serta kemaraan China yang menyebabkan dunia hari ini bergerak dalam konfigurasi baharu iaitu multipolar berbanding unipolar.

Penting untuk kita sebagai pentadbir dan pemimpin untuk mengambil pengajaran dan kesan serta sebarang kemungkinan perkembangan geopolitik kerana ketamadunan manusia tidak mampu merisikokan Perang Dunia Ketiga.

Mungkin sebahagian besar daripada kita yang tidak hidup dalam keadaan perang sepertimana nenek moyang kita lalui pada awal abad ke-20 sehingga ke pertengahan tahun 1945.

Tetapi kini, apabila Doomsday Clock, sebuah usaha oleh Bulletin of Atomic Scientists, sedang menunjukkan bacaan ‘90 seconds to midnight’ disebabkan beberapa perang proksi yang sedang berlaku.

Bacaan ini menunjukkan betapa dekat atau jauhnya dunia kita berada sebelum dibinasakan akibat perang nuklear. Untuk perbandingan, apabila Perang Dingin berakhir pada 1991, Doomsday Clock merekod bacaan ‘17 minutes to midnight’.

Konflik kuasa besar

Dengan latar belakang ini, beberapa komentar baru-baru ini mengatakan bahawa ‘a new nuclear arms race is beginning’. Saya meneliti tulisan Pulitzer Prize finalist Annie Jacobson bertajuk ‘Nuclear War: A Scenario’, yang menunjukkan betapa pantas dan mudahnya dunia kita berakhir dengan bermulanya satu bom nuklear daripada mana-mana negara.

Meskipun sebahagian besar daripada kita tidak hidup dalam perang biasa, kita telah pun melalui perang dengan ‘the unseen enemy’ sewaktu bertarung dengan virus Covid-19.

Kita masih ingat kengerian hidup dalam ketidaktentuan, hidup secara berasingan, hidup dengan risiko kematian.

Di Selangor, meskipun kita bukan kuasa nuklear ataupun tidak terlibat secara langsung dengan konflik yang sedang berjalan dengan kuasa besar di dunia hari ini, kita wajar menyatakan pandangan, kita wajar berpendirian teguh.

Perang bukan satu opsyen walau apa pun yang berlaku. Keamanan dan kesejahteraan satu-satunya pilihan kita.

Sebagai masyarakat bertamadun, kita mempunyai perjalanan dan ruang yang jauh lagi untuk dijalani.

Sebaliknya, kita harus bersatu dan mencari solusi berkesan untuk mendepani cabaran perubahan iklim, cabaran di dalam ekonomi yang menyebabkan sekelompok rakyat berasa nasib mereka tidak diperjuangkan pimpinan seperti yang kita lihat di negara maju, sebuah sistem ekonomi yang berasaskan teknologi tetapi belum mengangkat maruah rakyat di bawah.

Belum lagi kita berbicara tentang cabaran negara maju seperti masyarakat menua, rejuvenasi bandar matang, sistem pengangkutan yang menggerakkan manusia dan bukannya kenderaan.

Permasalahan dasar seperti ini seharusnya menjadi titik persamaan dan menyatukan manusia dari seluruh pelusuk dunia untuk bersama supaya kita mencapai hasrat kehidupan yang mampan bagi kebaikan rakyat.

Di Selangor, di Asean, kita harus berani untuk tampilkan prinsip dan nilai tersendiri dan elak daripada korupsi moral seperti yang kita lihat di negara yang ekonominya maju tetapi sistem politik dan demokrasi sedang digelak tawa seluruh dunia.

Itu yang mendorong pentadbiran ini untuk mencari keseimbangan emas antara meneroka peluang baharu seperti kecerdasan buatan dan semikonduktor, mementingkan kemampanan dengan industri tenaga serta inisiatif kitar semula, di samping beberapa program bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat agar pendapatan boleh guna mereka meningkat dari bulan ke bulan.

Ayuh bersama-sama, melalui pertumbuhan inklusif, inovasi, institusi yang kuat, dan tadbir urus yang dikongsi, kita akan membina masa depan yang lebih cerah untuk Selangor.

Petikan ucapan pembentangan Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November

“Kita tidak takut akan perubahan. Kita akan terus menggalakkan inovasi, menyokong perusahaan baharu, dan mempromosikan industri masa depan, walaupun kita sedar ia mungkin mencabar status quo.

"Ini langkah penting untuk mewujudkan pekerjaan lebih baik dan ekonomi lebih dinamik Sebaliknya, kita harus bersatu dan mencari solusi yang berkesan untuk mendepani cabaran perubahan iklim, cabaran di dalam ekonomi yang menyebabkan sekelompok rakyat berasa nasib mereka tidak diperjuangkan".

* Amirudin Shari ialah Menteri Besar Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!