Suspek korek mata lelaki tempatan ada kad UNHCR
GEORGE TOWN - Lelaki warga asing yang mengorek keluar bebola mata seorang lelaki tempatan dalam pergaduhan di Jalan Ara Kuda pada Ahad merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 28 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau manakala mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
"Kita menahan reman suspek ketika ini untuk siasatan lanjut.
"Polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan kita akan tuduh suspek di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan nanti," katanya.
Beliau berkata demikikan ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut antara Asisten Komisioner Abdul Rozak Mohammad dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut yang juga Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake.
Abdul Rozak sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Besut menggantikan Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid yang kini menjawat Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai disebabkan perselisihan faham antara suspek dan mangsa.
"Suspek dan mangsa saling mengenali yang mana, mereka tinggal berjiran di flat tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati, pada mulanya, hanya berlaku pertengkaran mulut antara mereka namun berlarutan sehingga berlaku kekerasan tangan apabila suspek telah mengorek keluar bebola mata kiri mangsa," jelasnya.
Hamzah berkata, mangsa yang berusia 52 tahun telah selesai menjalani pembedahan mata dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang.
"Mangsa dilaporkan semakin baik dan pulih. Bagaimanapun, kemungkinan mangsa akan mengalami cacat kekal kerana kecederaannya itu," tambahnya.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung satu pergaduhan yang menyaksikan seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah apabila bebola mata kirinya dikorek keluar, di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor.
Suspek ditahan susulan pergaduhan pada kira-kira 2 petang Ahad.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan mengganggu suspek, sebelum lelaki warga asing berkenaan bertindak memukul dan mencederakan kedua-dua belah matanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!