[VIDEO] Pemandu treler kontena tidak mengaku pandu bahaya, sebabkan kematian wanita

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu treler dituduh di atas pertuduhan memandu dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian di Mahkamah Majistret 2 di sini pada Isnin.

Marhizan Johari, 51 dari Taman Bunga Padi, Kangar, Perlis dituduh sebagai pemandu treler jenis Volvo telah memandu dengan cara yang berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian kepada pemandu kereta, Lew Zi Rou, 21.

Pemandu treler dituduh memandu dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, Lew Zi Rou.
Pemandu treler dituduh memandu dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, Lew Zi Rou.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kebun Sireh di sini pada jam 9.30 pagi, 13 November lalu.

Oleh demikian, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun daripada tarikh sabitan.

Tertuduh mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh (berbaju biru) tidak ditawarkan jaminan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Tertuduh (berbaju biru) tidak ditawarkan jaminan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan terhadap tertuduh.

"Tiada wang jaminan ditawarkan kerana mengambil faktor kepentingan awam terhadap kes ini. Selain itu, kes ini juga telah tular di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai pihak.

"Selain itu, tindakan tertuduh yang menunjukkan tanda 'peace' kepada pemberita ketika wajahnya dirakam pada proses reman tempoh hari juga menunjukkan tiada rasa bersalah oleh tertuduh.

"Oleh demikian, tiada wang jaminan ditawarkan kepada tertuduh," katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan kepada mahkamah.

Mohd Harith kemudiannya menangguhkan kes sehingga 24 Januari tahun hadapan untuk menunggu laporan kimia, laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan bedah siasat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tertuduh yang merupakan pemandu treler membawa muatan kontena yang menyebabkan kematian seorang pemandu wanita dalam kemalangan dengan selamba telah menunjukkan tanda 'peace' kepada wartawan yang sedang merakamkan wajahnya.

Lelaki itu bertindak demikian ketika tiba di Kompleks Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mendapatkan perintah reman ke atasnya pada jam 8.20 pagi, Khamis lalu.

Dalam kejadian minggu lalu, seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera apabila dihempap kontena yang dibawa sebuah treler dalam kejadian di Jalan Kebun Sireh,di sini pada jam 9.30 pagi Rabu.

Kejadian itu melibatkan empat buah kenderaan lain iaitu Perodua Bezza, Toyota Altis, Honda Jazz dan lori 3 tan.

Selain wanita yang memandu Perodua Bezza itu, kemalangan turut menyebabkan pemandu kereta Honda Jazz berusia 25 tahun turut cedera selepas tersepit di bahagian pemandu.

Susulan daripada itu, polis menahan pemandu treler kontena tersebut untuk membantu siasatan.

Ujian saringan awal dadah dan alkohol yang dijalankan terhadap pemandu itu menunjukkan negatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!