Melaka tarik balik gelaran Datuk Nasiruddin GISB
MELAKA - Kerajaan Melaka menarik balik Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) kepada Pegerusi Eksekutif dan Ketua Pengawai Eksekutif GISB Holding Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad berkata, penarikan balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada Nasiruddin selaras dengan kuasa prerogatif Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.
Menurutnya, ia dilakukan setelah Mohd Ali menerima nasihat daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
"Penarikan balik darjah kebesaran ini dibuat serta-merta selaras dengan kuasa prerogatif Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka.
"Sehubungan dengan itu, nama Nasiruddin Mohd Ali telah dikeluarkan dari Senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Jelasnya, Nalsiruddin juga tidak dibenarkan menggunapakai gelaran tersebut dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!