'Kepada yang menolak usahanya, arwah tak simpan dendam' - Keluarga Tun Daim
SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin disifatkan sebagai individu tidak menyimpan dendam kepada pihak yang menolak usahanya, malah sentiasa memaafkan dan sanggup memikul beban konflik dengan tenang seiring perwatakannya.
Demikian luahan keluarga Allahyarham Daim dalam satu kenyataan kepada media pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, arwah menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakimi dan apabila berdepan situasi sukar, beliau bertawakal kerana hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui.
"Allahyarham pulang ke pangkuan pencipta-Nya dengan penuh ketenangan dan kesyukuran. Sesungguhnya, perjalanan hidup anak watan Kedah sehinggalah ke persada dunia diwarnai dengan jasa yang dicurahkan serta semangat untuk berbakti kepada agama, bangsa serta negara tercinta.
"Beliau mengabdikan hidup ke arah matlamat memaju, membangun dan memperkasakan ekonomi Malaysia kerana baginya, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi usaha gigih tanpa mengharapkan balasan.
"Apa yang paling utama, prinsip arwah dalam hidup iaitu iman mendalam kepada ALLAH SWT. Sebutan yang tak pernah tinggal adalah syukur dan di sebalik kejayaan di dunia, beliau yakin ganjaran diterimanya disebabkan keimanan kepada Maha Esa," katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada pagi Rabu di usia 86 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 kira-kira jam 6.06 petang.
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin dilahirkan pada 29 April 1938 dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali.
Kali pertama adalah dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali berkhidmat untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir bagi menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Keluarga Allahyarham Daim memaklumkan, arwah jarang membahas atau mengungkit jasanya kepada orang lain kerana beliau yakin nilai sebenar kehidupan bukan terletak kepada apa yang dimiliki, tetapi apa yang disumbangkan.
Tambah kenyataan terbabit, pencapaian Daim sepanjang hidup amat membanggakan kerana di sebalik kehebatan akal dan ketinggian wawasan dimilikinya, beliau seorang yang berjiwa lembut, menjaga pertuturan, tingkah laku, rendah diri, murah hati serta sabar.
"Biarpun Allahyarham tidak lagi berada di samping kita, harapan kami adalah usaha beliau walau sekecil mana pun telah membantu mencapai masa depan lebih cerah untuk rakyat.
"Beliau sentiasa berpesan, kekuatan negara ini terletak kepada kepelbagaian, perpaduan, usaha gigih dan keyakinan yang utuh bahawa kita boleh mencapai kegemilangan bersama.
"Sehingga ke akhir hayat, beliau kekal yakin kepada potensi negara ini untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, inklusif dan bersatu," ujarnya.
Jelas kenyataan itu lagi, Daim meletakkan setinggi-tinggi kepercayaan buat anak muda kerana golongan berkenaan merupakan penentu kecemerlangan masa depan dan harapan negara.
"Beliau menyedari cabaran mendatang, namun tetap percaya anak muda boleh mengatasinya. Walaupun jalan menuju Malaysia yang lebih baik penuh ranjau, tetapi percayalah ia berbaloi untuk diharungi," katanya.
Justeru, keluarga Daim mengucapkan terima kasih buat ahli keluarga, sahabat handai, kenalan dari seluruh dunia dan rakyat Malaysia yang sudi meluangkan masa bagi memberikan penghormatan terakhir.
"Kami tidak mengenali ramai yang datang berkunjung. Kisah atau pengalaman diceritakan mengenai arwah serta bagaimana beliau memberi kesan kepada kehidupan mereka amat mengharukan dan kami hargainya.
"Terima kasih tidak terhingga kepada doktor, jururawat, kakitangan dan pihak pengurusan Hospital Assunta di atas penjagaan serta keprihatinan yang ditunjukkan selama beberapa tahun sehinggalah detik terakhir Allahyarham," ulas kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!