Terengganu bentang Belanjawan 2025 bernilai RM1.887 bilion

Ahmad Samsuri ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman.
Ahmad Samsuri ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu pada Isnin membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan 'Demi Masa Depan Terengganu' berjumlah RM1.887 bilion bagi perbelanjaan mengurus.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta manakala hasil pula dianggarkan berjumlah RM1.997 bilion.

"Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.792 bilion bagi perbelanjaan bekalan iaitu sebanyak RM278.19 juta untuk emolumen, RM361.49 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM23.93 juta untuk aset, RM1.127 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap RM1 juta untuk lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.

Ahmad Samsuri berkata,kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM385.79 juta untuk sektor sosial, RM44.28 juta untuk sektor pentadbiran dan RM19.93 juta untuk sektor ekonomi di bawah perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, bagi anggaran hasil, kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.997 bilion iaitu sebanyak RM74.10 juta daripada hasil cukai, RM189.25 juta dari hasil bukan cukai dan RM1.733 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk dana khas kerajaan persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion.

Pembentangan Belanjawan 2025 itu menekankan lima fokus kerajaan negeri iaitu peningkatan kelestarian fiskal, pembangunan rantaian nilai makanan, pengukuhan modal sosial, pemerkasaan ekonomi berdaya saing dan pemberdayaan masyarakat usahawan.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, bagi memastikan pengurusan kewangan dan proses belanjawan adalah lebih efisien, Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu akan memperkemas pelaksanaan Bajet Berasaskan Outcome (OBB) dalam membuat pengagihan peruntukan dan perbelanjaan nanti.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyatakan bagi mengekalkan kecemerlangan pendidikan, Yayasan Terengganu dengan kerjasama Terengganu Inc akan menambah jumlah dana kepada RM6 juta untuk biasiswa ke peringkat pengajian tinggi.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan menambah baik prasarana dan kemudahan di mahkamah-mahkamah syariah serta memberikan perhatian terhadap keperluan para hakim syarie," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!