Sembilan didakwa miliki minyak diesel tanpa lesen

Antara sembilan individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas memiliki 34,740 liter minyak diesel bagi tujuan runcit atau borong tanpa lesen.
Antara sembilan individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas memiliki 34,740 liter minyak diesel bagi tujuan runcit atau borong tanpa lesen.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai sembilan individu termasuk tiga pemilik syarikat logistik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas kesalahan memiliki 34,740 liter minyak diesel bagi tujuan runcit atau borong tanpa lesen.

Tertuduh berusia lingkungan 29 hingga 63 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 1.55 pagi hingga 9.30 pagi di tiga lokasi berbeza dekat mukim Kuala Paka dan Kampung Cacar, Paka di Dungun pada 6 Julai lalu.

Berdasarkan pertuduhan tiga pemilik syarikat iaitu Hasdi Mustapa, 43; Hirool Farihan Hussin, 41, dan Abd Mukmin A. Razak, 36, selaku pemilik syarikat HMH Truck didapati secara syak munasabah memiliki 29,070 liter barang kawalan iaitu diesel yang juga barang berjadual yang disimpan di dalam tangki simpanan semi trailer, di Kampung Cacar, Paka, Dungun pada 6 Julai 2023.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala enam lagi tertuduh iaitu Azni Zabar, 39; Mohd Luqman Ramli, 31; Hasrul Azly Mustapa, 32; Mohamad Saufi Abdull Ghapa, 29, Mohd Rozi Mohd Zaij, 38 dan Che Harun Mat Jusoh, 63 didakwa mengikut seksyen sama.

Kesemua mereka didakwa memiliki baki 5,669.66 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki kenderaan dan tangki tambahan plastik di dua stesen minyak di sekitar Paka, pada tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM3,000 hingga RM8,000 dengan jumlah keseluruhan jaminan RM57,000.

Tertuduh juga tidak dibenarkan menggangu saksi pendakwaan dan sebutan semula kes itu pada 18 Disember depan.

Pendakwaan bagi kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa KPDN, Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde dan Mohd Aiman Ariff Mohd Zaida.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!