Belanjawan Selangor 2025: AMK sambut baik peningkatan peruntukan belia
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyambut baik peningkatan peruntukan pembangunan belia kepada RM2.8 juta dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025.
Naib Timbalan AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq berkata, peningkatan peruntukan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dari RM5,000 kepada RM10,000 membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan belia di Selangor.
Ujarnya, inisiatif tersebut diyakini mampu memberi impak besar kepada program- program di peringkat akar umbi, sekali gus memperkasa belia untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan komuniti belia.
"Melalui tambahan dana ini, PeBS berpeluang memperluaskan skop aktiviti yang lebih inklusif, inovatif kepada anak muda Selangor selain membuka ruang untuk melibatkan lebih ramai belia dalam aktiviti yang memupuk semangat kepimpinan, dan nilai sosial yang positif," ujarnya dalam kenyataan.
Muhammad Iman sehubungan itu berkata, AMK Selangor optimis untuk bersama-sama menggerakkan inisiatif tersebut melalui program yang lebih mampan demi pembangunan anak muda Selangor yang lebih sejahtera dan progresif.
Dalam pada itu, tambahnya, AMK Selangor turut menyeru anak muda untuk mengambil peluang ini bagi menyertai program-program PeBS dan memanfaatkan sepenuhnya sokongan yang diberikan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!