Kod QR diperluas kepada semua jenis pengangkutan tahun hadapan

Saifuddin Nasution (tengah) ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor di Bukit Aman pada Isnin.
Saifuddin Nasution (tengah) ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor di Bukit Aman pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan Kod Respons Pantas (QR) dijangka diperluaskan kepada semua jenis pengangkutan bagi melancarkan aliran trafik pintu masuk negara Johor-Singapura pada tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini pelaksanaan QR hanya melibatkan penumpang bas dan penunggang motosikal.

Beliau berkata, fasa pertama Sistem Kod QR ini telah dilaksanakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Jun lalu.

"Bagi fasa pertama ini, perolehan vendor akan dimuktamadkan dan susulan itu penggunaan QR ini akan diperluaskan kepada jenis pengangkutan lain seperti kenderaan persendirian dan sebagainya.

"Kita menyasarkan pada tahun hadapan susulan berdasarkan unjuran laluan Johor-Singapura dijangka akan menerima kemasukan kenderaan sebanyak 150 juta setahun berbanding 116 juta sebelum ini, Singapura juga merupakan penyumbang pelancong tertinggi di Malaysia bagi negara-negara ASEAN dan keduanya adalah Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor di Bukit Aman pada Isnin.

Menurutnya, matlamat penggunaan QR ini secara langsung mengurangkan peratusan kesesakan.

"Sebanyak 2 juta lebih kenderaan menggunakan QR ini dan apa yang menjadi kayu ukur adalah memendekkan masa menunggu terutamanya ketika waktu puncak.

Artikel Berkaitan:

"Penjimatan antara dua hingga tiga saat sangat signifikan di laluan sesibuk ini, jika dahulu terdapat satu kaunter untuk cop passport, kemudian kenderaan perlu gerak ke depan sedikit untuk urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tol namun semua urusan ini disatukan menerusi kaedah QR ini," katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Media sebelum ini melaporkan penggunaan sistem kod QR menerusi aplikasi MyRENTAS di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini mulai 1 Jun lepas telah merekodkan hampir dua juta transaksi pergerakan pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Jati Jana (M) Sdn Bhd Azril Rizal Abdullah berkata, ia sekali gus berjaya mengurangkan tempoh menunggu bagi pengguna bas di laluan darat antara Malaysia dan Singapura itu pada waktu puncak iaitu dari 120 minit sebelum ini kepada 15 minit.

Pada 1 Jun lepas, JIM melancarkan MyRENTAS iaitu sistem kod QR rentas sempadan ke Singapura sebagai inisiatif jabatan itu bagi menangani masalah kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura terutama di BSI dengan tempoh percubaannya adalah selama tiga bulan.

Sistem itu kemudiannya diberi lanjutan tempoh percubaan tiga bulan bermula September lepas yang merupakan antara inisiatif transformasi digital JIM bagi memudahkan rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari dengan sebahagian besarnya untuk bekerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!