Kesesakan Tambak Johor: Kerajaan pertimbang ubah laluan kenderaan komersial
KUALA LUMPUR - Kerajaan mempertimbang kesesuaian untuk mengubah laluan kenderaan komersial dari Stesen Woodlands ke Tuas sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang ketetapan dibuat.
"Kita bincang tadi setakat ini tidak ada ketetapan apa-apa. Mesyuarat ambil maklumat Kementerian Pengangkutan (MOT) akan ketuai mesyuarat itu dengan pihak Singapura.
"Satu kajian akan dibuat dan Malaysia akan diwakili oleh MOT dan Singapura untuk melihat aliran pergerakan kenderaan komersial bagi cadangan berkenaan dan mengkaji kesesuaian bagi mengubah laluan kenderaan komersial," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.
Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selain turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Selain itu, kata Saifuddin, pihaknya juga mempertimbang cadangan menambah baik pas sedia ada seperti pas De Rantau Nomad bagi membolehkan golongan profesional dan tenaga mahir tinggal di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tetapi bekerja di Singapura.
"Itu antara cadangan yang dibincangkan," ujarnya.
Tambah Saifuddin, sebanyak 52 inisiatif ditetapkan dalam usaha Kerajaan Malaysia menangani kesesakan di Tambak Johor.
Katanya lagi, daripada jumlah itu, 22 inisiatif yang mewakili 42 peratus telah disiarkan, 10 inisiatif melibatkan 19 peratus sedang dilaksanakan, manakala 20 inisiatif masih belum dilaksanakan.
"Kayu ukur hasil akhir inisiatif adalah agar kesesakan di Tambak Johor dapat dikurangkan.
"Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor telah ditubuhkan pada 20 Jun 2019 bagi mencari jalan meredakan kesesakan di lokasi terbabit dan mesyuarat sebentar tadi dimaklumkan pengembara harian yang menggunakan laluan itu adalah seramai 400,000 sehari dengan trend peningkatan 17 peratus setiap tahun," ujarnya.
Tambah Saifuddin, angka ini mengesahkan satu perkara bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor khusunya harus berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan bagi mencapai formula ke arah melegakan punca kesesakan.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Kerajaan Negeri Johor menyambut baik perbincangan dalam mesyuarat berkenaan.
"Kita akan sentiasa membantu sedaya upaya untuk membantu Kerajaan Persekutuan tangani kesesakan di Tambak Johor," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!