MOSTI teliti bangunkan LLM tersendiri, sokong ekosistem AI tempatan

MOSTI
MOSTI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang meneliti kemungkinan untuk membangunkan model bahasa besar atau Large Language Model (LLM) dalam bahasa Malaysia melalui kerjasama dengan universiti dan syarikat tempatan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, salah satu rakan utama dalam membangunkan inisiatif itu ialah Mesolitica, sebuah syarikat tempatan yang telah membangunkan LLM dalam bahasa Malaysia dikenali sebagai MaLLaM atau Malaysia Large Language Model.

"MaLLaM dihasilkan sepenuhnya dengan menggunakan pangkalan data, set data tempatan dan berkeupayaan untuk memahami bahasa dan budaya tempatan dengan lebih mendalam. MIMOS, agensi MOSTI dan Mesolitica sedang giat bekerjasama untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan model ini.

"Kerjasama ini akan turut melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada masa hadapan bagi memperkayakan bahasa Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang ingin tahu sama ada kementerian akan bekerjasama dengan DBP untuk memastikan LLM unik dan sesuai untuk pembangunan bahasa rasmi negara.

Menjawab soalan asal Chean Chung sama ada kementerian akan membangunkan LLM tersendiri serta langkah diambil untuk memastikan nilai dan budaya setempat tidak terabai, Mohammad Yusof berkata, MOSTI telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama kementerian dan agensi kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Digital dan Jabatan Perdana Menteri untuk membangunkan LLM tempatan.

Beliau berkata, pembangunan LLM itu akan mematuhi Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AIGE) yang telah dilancarkan pada 20 September lepas.

"Garis panduan AIGE ini bertujuan sebagai satu daripada mekanisme menggalakkan penggunaan teknologi AI (kecerdasan buatan) yang bertanggungjawab dalam negara. Pematuhan kepada garis panduan ini dapat memastikan LLM dibangunkan tidak mengabaikan nilai dan budaya setempat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pembangunan LLM akan menyokong ekosistem AI tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi AI dari luar negara, selain dapat meningkatkan proses membuat keputusan, pengautomasian tugas dan memudahkan penyelidikan dalam pelbagai sektor dengan menyesuaikan pengetahuan AI global kepada bahasa dan keperluan tempatan.

Bagaimanapun, Mohammad Yusof berkata, pembangunan LLM atau model AI melibatkan kos amat tinggi dan memerlukan peralatan khusus yang selalu dilaksanakan di pusat pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) berasaskan awan.

"Kos pelaburan perkakasan di peringkat awal boleh dikurangkan dengan menggunakan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan awan seperti Microsoft Azure, OpenAI dan Amazon Web Services (AWS).

"Bagaimanapun, terdapat kebimbangan berkaitan keselamatan data kerana data akan disimpan di luar negara sekiranya menggunakan perkhidmatan awan berkenaan, yang menimbulkan risiko kebocoran data sulit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MOSTI melalui MIMOS sedang meneroka penggunaan infrastruktur pengkomputeran dengan kos kompetitif yang mampu mengendalikan dan memperhalusi data hak milik dengan selamat.

Menurut Mohammad Yusof, kerjasama dengan Phison melalui penggunaan teknologi aiDAPTIV+ telah membuktikan pengurangan kos dan peningkatan keselamatan data.

"aiDAPTIV membolehkan pengguna melatih dan mengoptimumkan model AI menggunakan data rahsia di premis mereka sendiri dan mengurangkan risiko kebocoran data,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) sama ada terdapat penyelarasan dari segi rangka kerja AI dalam kalangan negara ASEAN, beliau berkata ASEAN telah mengeluarkan satu garis panduan tadbir urus dan etika AI pada 2 Februari lepas, berfungsi sebagai sumber praktikal bagi organisasi yang ingin melaksanakan teknologi AI dalam konteks komersial di rantau ini.

"Panduan ini bertujuan mempromosikan penjajaran dalam ASEAN dan meningkatkan kebolehoperasian rangka kerja AI merentasi negara anggota,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!