Pengendali media sosial diminta turunkan video, audio isu rasuah ADUN

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah meminta pengendali platform media sosial untuk menurunkan video dan audio berkaitan dakwaan rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah berhubung dengan pengendali platform berkaitan yang didapati memuat naik video dan audio isu itu.

"MCMC tidak terlibat dalam siasatan kes berkenaan tetapi mempunyai punca kuasa berkaitan video yang dimuatnaik dalam media sosial.

"Permohonan itu dibuat susulan permintaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menurunkan video-video terbabit. Kedua-dua agensi terbabit menjalankan siasatan yang mana PDRM siasat berkaitan ugutan bunuh, manakala SPRM membabitkan dakwaan rasuah," katanya ketika ditemui di Bukit Aman di sini pada Isnin.

Beliau berkata, video-video yang tersebar di media sosial boleh menjejaskan siasatan.

MCMC sebelum ini meminta portal berita bagi mengeluarkan serta-merta satu artikel dan video yang didakwa berkaitan skandal rasuah di Sabah.

Pada Ahad, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan telah merakam keterangan lima ADUN Sabah susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal berita.

Menurut kenyataan itu, SPRM Sabah telah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor minggu lalu juga menegaskan kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya SPRM susulan tular rakaman audio ADUN dikatakan sedang membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!